Selasa, 30 Mei 2017

Bicskei kena denda RM50,000



ARKIB : 14/06/2005

Oleh: AMRAN MULUP

PETALING JAYA - Jurulatih bola sepak kebangsaan, Bertalan Bicskei didenda sebanyak RM50,000 setelah didapati bersalah membaling botol dan meluru ke padang sewaktu perlawanan persahabatan kedua Malaysia bertemu Singapura di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 8 Jun lalu.

Keputusan untuk mendenda jurulatih dari Hungary itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat yang bersidang hampir empat jam di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya di sini, semalam.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, jawatankuasa itu memutuskan Bicskei bersalah atas dua salah laku jurulatih itu pada minit ke-70 sewaktu aksi Malaysia bertemu Singapura sedang berlangsung.

``Pada minit ke-70, Bicskei didapati membaling botol minuman ke dalam padang dan dua minit selepas itu beliau bertindak meluru masuk ke padang.

``Sejurus masuk ke padang, beliau (Bicskei) terus menolak pemain gantian Singapura, Razaleigh Khaik (memakai jersi no 14),'' ujarnya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Menurut beliau, Bicskei bertindak demikian kerana hilang sabar dan rasa tidak puas hati ekoran tindakan kasar Razaleigh ke atas pemain kebangsaan, Zainuddin Ariffin.

Merumuskan mengenai keputusan tersebut Ibrahim berkata, jawatankuasa yang bersidang memandang serius dengan tindakan tidak wajar dilakukan oleh jurulatih dari Hungary itu.

``Tindakan Bicskei dipandang serius apa lagi beliau adalah jurulatih kebangsaan dan jawatankuasa terpaksa mengambil tindakan keras dengan mendenda beliau sebanyak RM50,000,'' katanya.

Ditanya sama ada Bicskei membuat rayuan ketika hukuman dijatuhkan ke atas beliau Ibrahim berkata, jurulatih itu tidak akan membuat sebarang rayuan.

``Sewaktu memberi keterangan kepada jawatankuasa yang bersidang, Bicskei mengakui kesilapan yang dilakukannya dan beliau turut memohon maaf atas tingkah laku tersebut,'' ujarnya lagi.

Dalam insiden di Stadium Bandaraya itu, Razaleigh yang masuk sebagai pemain gantian bertindak agresif menolak pemain Perlis, Zainuddin sehingga keluar padang ketika pemain Perlis itu cuba mengejar bola.

Disusuli tindakan pemain Singapura itu membentes kasar ke atas Zainuddin berhampiran bangku simpanan skuad kebangsaan menyebabkan Bicskei hilang sabar dan terus meluru ke dalam padang.

Bagaimanapun, pengadil dari Indonesia, Jimmy Napitupulu yang mengadili perlawanan tersebut berjaya mengawal keadaan sambil mengarahkan Bicskei keluar padang dan Razaleigh pula dilayangkan kad kuning.

Pada perlawanan tersebut Malaysia tewas buat kali kedua dengan keputusan 1-2. Dalam perlawanan pertama di Stadium Kallang, Singapura anak didik Bicskei tewas 0-2.

Sementara itu dalam kes lain, jurulatih MPPJ, Michael Feichpen Benier dilarang berada di bangku simpanan pemain untuk dua perlawanan akan datang setelah didapati bersalah membantah keputusan pengadil perlawanan.

Kejadian berlaku sewaktu perlawanan Sabah menentang MPPJ pada 14 Mei lalu.

Dalam pada itu, jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim dan pengurus Sabah, Johari Ayob diberi amaran secara lisan setelah didapati bersalah kerana membantah keputusan pengadil.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ickX2uYB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan