Selasa, 23 Mei 2017

Skuad muda ke Poland



ARKIB : 22/02/2005

Oleh Amran Mulup
Ibrahim Saad menerima cenderamata daripada Nowak (dua dari kanan) di Kedutaan Poland, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun yang akan menghadapi temasya Sukan Sea di Manila November ini akan menjalani latihan di Poland, Ogos ini.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, skuad kebangsaan akan menjalani latihan selama 12 hari dengan kelab divisyen dua Poland iaitu Kujawiak Hydorbudowa dari 1 hingga 12 Ogos.

Menurutnya, sepanjang latihan di negara tersebut Persatuan Bola Sepak Poland (PZPN) memberikan persetujuan akan mengatur beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan dan bawah 23 tahun Poland.

Beliau menambah, selain itu skuad negara juga akan mengadakan perlawanan persahabatan ulangan dengan Kujawiak serta beberapa kelab divisyen dua yang lain.

``Pada dasarnya kelab Kujawiak telah bersetuju untuk membenarkan kem latihan diadakan di sana selain PZPN akan mengatur beberapa perlawanan persahabatan sepanjang tempoh 12 hari di Poland,'' ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan singkat dengan Naib Presiden PZPN, Nowak di Kedutaan Poland di sini, semalam.

Turut hadir ialah Duta Poland di Malaysia, Eugeniusz Sawicki dan pengarah kelab Kujawiak, Wojciech Klatt.

Kelab Kujawiak kini berada di sini menjalani latihan selama dua minggu dan telah mengadakan tiga perlawanan persahabatan.

Mereka menewaskan skuad kebangsaan bawah 23, 1-0 dan 2-0 serta MPPJ Selangor 3-1.

Mengulas lanjut Ibrahim berkata, latihan yang diadakan Poland adalah atas jemputan kelab Kujiawak.

Ini katanya, adalah sebagai membalas kunjungan kelab tersebut yang dibawa oleh FAM untuk menjalani latihan di Kuala Lumpur selama dua minggu.

Menurutnya, ini adalah pertama kali skuad bola sepak kebangsaan menjalani latihan di Poland.

``Ini adalah sebahagian daripada persiapan skuad bawah 23 bagi menghadapi Sukan Sea di Manila nanti.

``Sepanjang tempoh latihan di sana, jurulatih Bertalan Bicskei akan membentuk pasukan yang mantap selain mengharungi beberapa perlawanan persahabatan,'' ujarnya.

Ibrahim yakin latihan di Poland akan mampu membentuk skuad kebangsaan dalam usaha memburu emas Sukan Sea.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4huojW9i0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan