Ahad, 28 Mei 2017

Peluang baik skuad kebangsaan



ARKIB : 08/04/2005

Daripada JOHARI SHAWAL


JEDDAH - Skuad bola sepak kebangsaan yang bertanding pada Sukan Perpaduan Islam di sini mendapat sedikit kelebihan untuk layak ke separuh akhir dari Kumpulan D apabila satu daripada pasukan gagah dalam kumpulan ini, Kuwait menarik diri daripada temasya sulung ini.

Malaysia dijadual membuka kempen menentang Kuwait di Taif malam esok tetapi kini skuad negara mendapat tambahan rehat tiga hari dan akan menentang pasukan pilihan, Maghribi untuk perlawanan pertama mereka pada Isnin.

Tidak diketahui sebab-sebab mengapa Kuwait menarik diri tetapi difahamkan, skuad itu mahu memberi perhatian penuh kepada baki perlawanan kelayakan Piala Dunia yang sedang mereka harungi.

Turut menarik diri daripada temasya ini ialah skuad bola sepak Cameroon yang diletakkan dalam Kumpulan B yang terdiri daripada Mali, Syria dan Republik Chad.

Turut difahamkan, pasukan tuan rumah, Arab Saudi tidak menghantar pasukan utama mereka dalam temasya ini kerana mereka juga sedang mengharungi kelayakan Piala Dunia zon Asia.

Penarikan diri Kuwait itu bermakna Malaysia kini perlu mengatasi Maghribi atau sekurang-kurangnya seri dengan pasukan dari utara Afrika itu dan kemudian perlu pula menewaskan Pakistan pada perlawanan terakhir mereka pada Rabu dengan jumlah jaringan yang besar.

Hanya satu pasukan dari setiap empat kumpulan layak ke separuh akhir acara ini.

Begitupun, pertemuan dengan Maghribi dianggap hidup dan mati pasukan negara.

Maghribi adalah pasukan yang pernah layak ke Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat.

Malaysia tidak pernah bertemu Maghribi dalam perlawanan kompetitif tetapi difahamkan, mereka juga menghantar pasukan kedua ke temasya ini yang membuka sedikit peluang kepada Malaysia.

Kelebihan itu juga boleh dilihat menerusi perlawanan pertama Kumpulan D yang melibatkan Maghribi dengan Pakistan esok.

Maghribi dijangka mudah menewaskan Pakistan, yang tidak diketahui kekuatannya.

Mereka juga perlu menewaskan Pakistan dengan jumlah jaringan yang besar sebelum membuat perhitungan dengan Malaysia.

Jurulatih Malaysia, Bertalan Bicskei sebelum ini pernah berkata, peluang Malaysia untuk menamatkan aksi peringkat kumpulan di tempat teratas amat sukar dengan adanya Maghribi dan Kuwait malah Pakistan juga tidak diketahui kekuatan mereka.

Tetapi dengan perkembangan terbaru ini, sekurang-kurangnya skuad negara mendapat suntikan semangat baru untuk mempamer aksi terbaik pada temasya ini. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iMOi5ruS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan