ARKIB : 20/12/2004
JURULATIH skuad bola sepak kebangsaan, Bertalan Bicskei kian resah memikirkan kecederaan penyerang lincah, V. Saravanan yang masih belum pulih sepenuhnya.
Menurutnya, keadaan itu memaksa beliau menyisihkan Saravanan daripada mengikuti sesi latihan sejak pemain kebangsaan melapor diri Sabtu lalu.
``Atas nasihat doktor perubatan, Saravanan perlu menjaani rawatan rapi dalam tempoh dua atau tiga hari ini.
``Hanya Saravanan saya berikan tempoh rehat secukupnya bagi membolehkan kecederaannya pulih menjelang pertemuan penting dengan Indonesia pada 28 Disember ini,'' ujarnya semalam.
Saravanan tercedera pada buku lali kanan selepas berlaga dengan penjaga gol Thailand, Kosin Hathairitanakool pada perlawanan terakhir Kumpulan B, 14 Disember lalu.
Pemain itu yang dimasukkan pada babak kedua menjadi nadi menerusi dua gerakannya membolehkan rakan sepasukannya, Muhammad Khalid Jamlus menjaringkan dua gol sewaktu Malaysia menewaskan penyandang juara 2-1 untuk layak ke separuh akhir.
Bagaimanapun selepas aksi menarik itu, Saravanan terpaksa dikeluarkan ketika dia terhenjut-henjut selepas berlaga dengan penjaga gol Thailand.
Mengulas lanjut Bicskei berkata, jika Saravanan mendapat rawatan rapi dan tempoh rehat yang mencukupi, kecederaan buku lali kanannya dijangka pulih menjelang pertemuan penting menentang Indonesia di Jakarta.
Ujarnya, berdasarkan laporan doktor perubatan beliau yakin khidmat Saravanan dapat digunakan bagi memperkukuhkan lagi barisan hadapan pasukan negara.
``Saya memang mengharapkan Saravanan dapat beraksi menjelang pertemuan dengan Indonesia kerana khidmatnya amat diperlukan untuk barisan serangan menggegar pintu gol Indonesia,'' katanya.
Jurulatih berasal dari Hungary itu jelas menagih aksi cemerlang Saravanan seperti mana yang dipamerkan oleh penyerang Perak itu yang menjadi nadi kejayaan skuad Malaysia mengejutkan Thailand 2-1 dan seterusnya mara ke separuh akhir.
Dalam pada itu, Bicskei melahirkan rasa gembira dengan kecederaan pemain sayap Chan Wing Hoong yang kini sudah kembali cergas daripada kecederaan yang dialami sewaktu pertemuan dengan Filipina.
Ujarnya, pemain itu sudah kembali pulih sepanjang latihan skuad bola sepak kebangsaan di padang Wisma FAM, semalam.
Skuad kebangsaan dijadualkan berangkat ke Jakarta pada 25 Disember sebelum bertemu saingan getir Indonesia pada saingan pertama separuh akhir empat hari selepas itu dan menanti kunjungan lawan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Januari 2005 untuk saingan kedua pula.
Buat Bisckei, sejak pemain melapor diri dan menjalani latihan, pemain-pemain jelas bersemangat untuk menewaskan Indonesia di gelanggang lawan.
Lebih menceriakan jurulatih itu, tempoh rehat tiga hari yang diberikan sesudah Malaysia mengejutkan Thailand 2-1, tahap kecergasan pemain berada pada tahap yang baik.
``Tidak ada pemain yang cedera melainkan Saravanan dan situasi ini benar-benar melegakan saya,'' ujarnya.
Sepanjang tempoh dua minggu menjelang pertemuan penting itu Bicskei akan menggunakan setiap ruang masa yang ada untuk memperkukuhkan kembali barisan serangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan