Sabtu, 6 Mei 2017

Malaysia hantar barisan terkuat -- Sukan Perpaduan Islam



ARKIB : 18/01/2005

SINGAPURA - Sebahagian besar pemain skuad Malaysia yang menduduki tangga ketiga pada Piala Tiger yang berakhir di sini semalam akan dikekalkan dalam usaha membentuk satu pasukan terkuat menghadapi cabaran pada Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi dari 8 hingga 20 April depan.

Pengurus skuad kebangsaan Datuk Seri Dr Ibrahim Saad berkata, Malaysia akan menghantar pasukan terbaiknya pada temasya sukan sulung di kalangan negara-negara anggota Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) itu.

``Kita akan hantar pasukan terkuat. Lagipun, inilah saja tugasan besar yang akan dihadapi skuad utama negara sepanjang tahun ini manakala skuad Bawah 23 Tahun akan dipersiapkan bagi Sukan SEA di Manila November depan.

``Kita harap jurulatih (Bertalan Bicskei) akan menganalisis semula persembahan kesemua pemain pada Piala Tiger sebelum membuat sedikit rombakan di mana-mana yang perlu bagi memantapkan lagi persembahan keseluruhan pasukan. Mungkin beliau patut mencari beberapa muka baru yang berbakat daripada aksi liga tempatan bagi diserapkan ke dalam skuad kebangsaan,'' kata Dr. Ibrahim.

Malaysia sekadar menduduki tangga ketiga pada kempen Piala Tiger selepas menundukkan Myanmar 2-1 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Sabtu lepas. Hasrat Malaysia untuk ke perlawanan akhir buat kali kedua disekat Indonesia yang menang dengan agregat 5-3 pada peringkat separuh akhir.

Dr. Ibrahim berkata, sekalipun menyedari tugas sukar bakal dihadapi pada Sukan Perpaduan Islam, beliau berharap Malaysia mampu memberikan impak yang berkesan.

Tiga pemain daripada skuad kebangsaan - Fadzli Saari, Mohd Nor Ismail dan Ivan Yusoff - bakal mengemudi skuad Bawah 23 Tahun negara yang pastinya mahu merebut kembali pingat emas Sukan SEA yang sudah sekian lama gagal digenggam - kali terakhir pada 1989 di Kuala Lumpur.

Malaysia hanya meraih pingat gangsa pada temasya terdahulu di Vietnam dua tahun lepas selepas dikecewakan tuan rumah Vietnam pada peringkat separuh akhir.

Mengenai persembahan keseluruhan skuad negara kali ini, Dr Ibrahim yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, menduduki tempat ketiga bukanlah satu keputusan yang terlalu buruk.

``Yang penting, kejayaan ini membuka semula mata peminat bola sepak negara untuk memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan.

``Lihatlah sahaja sokongan yang diterima Singapura semalam, kita perlukan sokongan sedemikian agar dapat mendorong pemain mempamerkan aksi lebih terpuji,'' katanya. - Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4gMZo0Hhw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan