ARKIB : 07/01/2005
Situasi itu harus dilupakan buat seketika biarpun pedih melihat kecaman demi kecaman dilontarkan.
Tugas yang masih belum selesai dan tumpuan kini adalah menebus kekecewaan dalam saingan penentuan tempat ketiga dan keempat bertemu Myanmar di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 15 Januari ini.
Buat jurulatih kebangsaan, Bertalan Bicskei kemenangan ke atas Myanmar sedikit sebanyak dapat mengubat kekecewaan dan malu yang dipalitkan oleh Indonesia selepas tewas 4-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Isnin lalu.
Jurulatih dari Hungary itu jelas mengharapkan semangat pemain tidak luntur sebaliknya dapat memberikan tumpuan dalam pertemuan dengan Myanmar yang turut tersingkir ke perlawanan akhir selepas tewas dengan agregat 8-3 kepada Singapura.
Esok, barisan pemain kebangsaan yang diberi cuti rehat kembali berhimpun di Wisma FAM bagi menghadapi satu lagi misi untuk sekurang-kurangnya menduduki tempat ketiga.
``Saya amat berharap pemain yang akan melapor diri Sabtu ini (esok), semangat mereka tidak terjejas.
``Saya mahu mereka melupakan malam yang cukup malang dan memberi tumpuan dengan tugas terakhir berdepan dengan Myanmar,'' ujar Bicskei semalam.
Jurulatih itu jelas mengharapkan kemenangan ke atas Myanmar dapat menebus kegagalan kepada Indonesia.
Sekalipun wajah jurulatih dari Hungary itu tampak ceria namun di sebalik itu tersimpan rasa kecewa yang sukar untuk diluahkan.
Ketika selangkah kaki Malaysia ke perlawanan akhir seakan menjadi kenyataan selepas menang 2-1 pada saingan pertama di Stadium Utama Senayan, tambah semarak dengan gol awal Khalid Jamlus tetapi kealpaan seketika benteng pertahanan membawa padah dengan empat gol menyusul memadamkan terus impian Malaysia.
``Saya mahu pemain melupakan segala kenangan pahit itu dan bagi saya ini sudah menjadi kelaziman pasukan menang disanjung dan apabila kalah dikecam habis-habisan,'' jelasnya.
Apa pun Bicskei akan melihat situasi semasa sewaktu barisan pemain kebangsaan melapor diri di Wisma FAM, esok.
Begitupun, Bicskei tidak mahu pemain terlalu yakin berdepan dengan Myanmar, pasukan yang mengejutkan Malaysia pada saingan awal Kumpulan B apabila tewas 0-1.
Jurulatih itu tidak mahu pemainnya terlalu yakin dan menganggap mudah pertemuan itu biarpun Myanmar akan turun tanpa empat pemain utama yang dilayangkan kad merah.
Ujarnya, sekalipun ia adalah khabar gembira buat Malaysia tetapi jika pemain mengambil sikap remeh ia boleh membawa mala petaka kedua.
Myanmar terhimpit apabila Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) kelmarin, mengumumkan empat pemain Myanmar yang digantung daripada beraksi pada 15 Januari ini ialah Yan Paing, Zaw Lynn Tun, Moe Kyaw Thu dan Tun Tun Lin.
Mengulas lanjut, Bicskei merasa lega tanpa seorang pemainnya ditimpa kecederaan serius.
Pemain sayap, Liew Kit Kong yang pada mulanya diberitakan mengalami kecederaan selepas berlaga dengan pemain Indonesia tetapi disahkan boleh turun beraksi menentang Myanmar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan