KUALA LUMPUR - Dua penyerang
Pahang, Indra Putra Mahayuddin dan Hairuddin Omar kembali mendapat kepercayaan
bagi menggalas cabaran bola sepak kebangsaan menghadapi Sukan Perpaduan Islam
di Arab Saudi dari 8 hingga 20 April ini.
Turut disenaraikan ialah
penyerang Kedah, Akmal Rizal Rakhli selain tiga pemain iaitu Syamsuri Mustafa,
Fadzli Shaari dan Lim Chan Yew yang mengikuti latihan tiga minggu dengan kelab
divisyen dua Liga Inggeris, Bournemouth FC.
Selain itu, sebahagian besar
pemain daripada skuad Piala Tiger yang menduduki tempat ketiga Januari lalu,
turut mendapat kepercayaan bersama lima pemain daripada skuad bawah 23 ke Sukan
SEA di Manila November ini.
Jurulatih kebangsaan, Bertalan
Bicskei berkata, mereka adalah sebahagian daripada senarai 35 pemain yang akan
dipanggil menjalani latihan di Wisma FAM, Ahad ini sebagai persiapan rapi ke
Arab Saudi.
``Saya tidak sangsi untuk
memanggil semula Indra Putra dan Hairuddin kerana setakat ini mereka
mempamerkan permainan bermutu tinggi.
``Begitu juga dengan Akmal,
walaupun dia baru pulih daripada kecederaan tetapi dia sudah kembali menemui
sentuhan selepas berehat untuk tempoh yang panjang,'' katanya di sini, semalam.
Berbekalkan barisan tersebut
kata jurulatih berasal dari Hungary itu, beliau yakin dapat membentuk sebuah
pasukan yang cukup mantap berbanding ketika dalam saingan Piala Tiger.
Sewaktu kempen Piala Tiger,
Bisckei tidak menyenaraikan Hairuddin dan Indra kerana masalah prestasi
manakala Akmal pula ditimpa kecederaan.
``Apa yang saya harapkan agar
pemain yang akan dipanggil ini apabila datang menjalani latihan tidak ditimpa
kecederaan,'' katanya.
Keadaan itu katanya boleh
membantutkan usaha Bicskei untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk
mengharungi saingan bersama Maghribi, Kuwait dan Pakistan yang diletakan dalam
Kumpulan C di Arab Saudi nanti.
Bicskei menambah, beliau juga
akan turut memanggil beberapa muka baru daripada saingan Liga Super dan Liga
Perdana yang dilihat berpotensi untuk diketengahkan menyarung jersi
kebangsaan.'
Sesi latihan yang dirancang
kata Bicskei hanya akan diadakan tiga hari seminggu tidak melibatkan hujung
minggu.
Beliau berkata, pemain akan
dibenarkan pulang untuk mewakili pasukan masing-masing menghadapi Liga Super
dan Liga Perdana.
Dalam pada itu ketika diminta
mengulas mengenai peluang Malaysia yang diletakan dalam Kumpulan C bersama-sama
Kuwait, Maghribi dan Pakistan beliau berkata, Malaysia berdepan dengan tugas
paling getir.
Ujarnya, Kuwait yang
menyingkirkan Malaysia pada pusingan kelayakan Piala Dunia yang lalu serta
Mahgribi adalah dua pasukan yang kuat.
``Atas kertas sukar bagi skuad
kebangsaan berdepan dengan Kuwait dan Mahribi,'' ujarnya.
Manakala Pakistan pula kata
jurulatih itu, beliau tidak banyak mengetahui akan kekuatan pasukan itu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4iAnAS4To
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan