ARKIB : 26/12/2004
|
JAKARTA - Dihormati serta digeruni selepas mengejutkan pasukan pilihan, Thailand - Malaysia dilihat mempunyai kelebihan susuk fizikal berbanding pemain-pemain Indonesia apabila mereka bertemu dalam separuh akhir pertama kejohanan bola sepak Piala Tiger.
Sebuah akhbar tabloid tempatan khusus untuk sukan bola sepak, Soccer mengingatkan pasukan negara itu betapa skuad bimbingan Bertalan Bicskei harus digeruni kerana rata-rata pemain Malaysia adalah lebih tinggi lantas memiliki kelebihan apabila berlaku perebutan di udara.
Dalam laporannya menjelang pertemuan separuh akhir pertama Selasa ini, tabloid dua kali seminggu itu berkata: ``Bola-bola bawah mungkin satu strategi yang berkesan (untuk Indonesia) apabila bertemu Malaysia.
``Kelebihan ketinggian (pemain-pemain Malaysia) digunakan secara maksimum, kata akhbar itu lagi...apatah lagi Malaysia bakal diterajui oleh penyerang, Khalid Jamlus yang sememangnya hebat apabila di udara,'' kata akhbar itu lagi.
Khalid sudah pasti mendapat perhatian serta digeruni oleh pemain-pemain tuan rumah setelah menjadi wira skuad negara dengan menjaringkan kedua-dua gol ketika anak-anak buah Bicskei bangkit pada babak kedua untuk menang 2-1 ke atas Thailand dalam perlawanan peringkat Kumpulan B di Kuala Lumpur.
Selepas menjaringkan gol penyamaan, Khalid menjaringkan gol kemenangan apabila melonjakkan dirinya untuk menyambar umpanan lintang V. Saravanan.
Dengan susuk tubuh pemain-pemain Malaysia dilihat sebagai kelebihan, Indonesia mungkin menggunakan strategi banyak bermain bola rendah.
``Peter Withe (jurulatih Indonesia) wajar belajar daripada kemenangan Myanmar ke atas Malaysia,'' kata akhbar itu.
``Myanmar jelas berjaya menyekat pergerakan pemain-pemain Malaysia dengan bermain bola rendah dan bermain pantas.''
Indonesia merupakan juara Kumpulan A dengan bergaya setelah tidak melepaskan satu gol pun daripada empat permainan manakala Malaysia muncul naib juara Kumpulan B, mengekori Myanmar yang akan bertemu Singapura dalam satu lagi separuh akhir.
Sementara itu Stadium Gelora Bung Karno di Kompleks Sukan Senayan di sini dijangka penuh dengan peminat tempatan. Tiada tanda-tanda bahawa penyokong-penyokong tempatan akan menghindari stadium akibat ancaman bom.
Menurut laporan akhbar, Jakarta kini diawasi ketat oleh kira-kira 28,000 anggota polis dan anggota tentera setelah beberapa kerajaan asing bahawa adanya ancaman serangan oleh pengganas di negara ini pada musim perayaan Krismas.
Bagaimanapun, apa yang dilihat stadium yang bakal mempertemukan Indonesia dengan Malaysia pada malam Selasa ini penuh sesak dengan penganut-penganut Kristian yang berhibur menyaksikan konsert sempena perayaan Hari Natal semalam, sekali gus membayangkan bahawa tiada tanda-tanda takut di kalangan warga Jakarta.
Negara ini telah dikejutkan oleh beberapa serangan bom selama beberapa tahun ini, yang paling diingati ialah pengeboman Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman ke atas Hotel JW Marriot pada tahun lepas yang mengorbankan 12 orang.
Awal minggu ini, Jakarta dikejutkan dengan penemuan sebutir bom tangan berhampiran Hotel Hilton yang terletak berdekatan dengan Stadium Gelora Bung Karno walaupun pakar-pakar bom yang dipanggil untuk memusnahkan bom tersebut berkata bahawa ia telah berkarat dan tidak lagi aktif. - Mingguan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan