ARKIB : 03/01/2005
KESEIMBANGAN antara corak permainan menyerang dan bertahan menjadi strategi jurulatih bola sepak kebangsaan, Bertalan Bicskei untuk pasukan negara melangkah ke final Piala Tiger apabila bertemu Indonesia dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Tegas jurulatih kelahiran Hungary itu, kemenangan 2-1 yang diraih dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Utama Senayan, Jakarta minggu lalu membuktikan sekali pun lebih banyak bertahan, pemain perlu melancarkan serangan.
``Seperti mana pertemuan pertama tempoh hari, pemburuan jaringan akan tetap menjadi matlamat kita dalam pertemuan kedua hari ini.
``Perlawanan pusingan pertama tempoh hari terbukti kita tidak boleh sekadar bertahan sebaliknya perlu menjaringkan gol.
``Corak permainan bertahan dalam perlawanan kedua hari ini tidak memadai sebaliknya pemain perlu memastikan kelancaran jentera serangan.
``Suasana beraksi di depan lebih 100,000 penyokong fanatik tuan rumah di Jakarta tempoh hari menyebabkan pemain sukar lebih kerap melancarkan serangan.
``Tetapi pertemuan kedua hari ini keadaan berubah, pemain negara beraksi di gelanggang sendiri yang mana saya rasakan ia satu kelebihan untuk pemain lebih banyak melancarkan serangan,'' kata Bicskei pada sidang akhbar pra-perlawanan separuh akhir kedua Piala Tiger di Petaling Jaya, semalam.
Anak-anak buah Bicskei ketinggalan 1-0 seawal minit keenam oleh jaringan Kurniawan Dwi Yulianto untuk menang 2-1 menerusi Liew Kit Kong dalam perlawanan separuh akhir pertama di Jakarta minggu lalu menerusi jaringan Liew Kit Kong.
Dalam pada itu, Bicskei sekali lagi menegaskan kelebihan satu gol belum cukup selamat untuk pasukan negara.
``Dalam tempoh 90 minit perlawanan esok (hari ini) apa sahaja boleh berlaku,'' katanya.
Sementara itu, ketua pasukan, Rosdi Talib berkata, benteng pertahanan negara tidak gentar dengan kehadiran semula dua tonggak serangan Indonesia, Boas Salossa dan Ilham Jaya Kesuma yang digantung satu perlawanan sebelum ini.
Walaupun mengakui jentera serangan Indonesia semakin mantap berbanding ketiadaan Ilham dan Boas pada perlawanan pertama, pertahanan negara tidak akan memberi ruang kepada kedua-dua penyerang itu membolosi pintu gol.
``Saya mengakui sewaktu perlawanan pertama dahulu barisan pertahanan agak goyah tetapi menjelang perlawanan hari ini, kami berusaha memperbaiki kelemahan tersebut dan sedia mengekang Indonesia,'' katanya.
Begitupun jelas pemain Liga Super Pahang itu, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri berbanding pasukan lawan.
``Kita akui Indonesia sebuah pasukan yang baik dan kerap mendapat peluang menjaringkan gol tetapi menemui sentuhan penyudah.
``Berbanding Malaysia yang sering kali tidak diberikan harapan tetapi berjaya menjaringkan gol,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan