Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
KEPUTUSAN Konfederasi Bolasepak
Asia (AFC) mengekalkan Pyongyang sebagai venue aksi Kelayakan Piala Asia 2019
pada 8 Jun depan, meletakkan skuad Harimau Malaya berada dalam situasi sukar
berdepan Korea Utara.
Bukan saja dari segi mental
pemain akan diuji apabila bertandang ke Pyongyang buat kali pertama, malah jarak
perjalanan jauh bakal menyulitkan keadaan kerana mereka akan bergegas pulang ke
tanah air semula untuk menghadapi Lubnan pada 13 Jun dalam perlawanan kedua
Kumpulan B kelayakan itu.
Berikutan situasi skuad
kebangsaan masih tertanya-tanya siapa jurulatih baru yang akan mengambil alih
tugas Datuk Ong Kim Swee, penangguhan perlawanan pertama kumpulan sepatutnya
berlangsung 28 Mac lalu itu kini dilihat langsung tidak memberi kelebihan
kepada Malaysia.
Situasi sukar itu diakui
sendiri penyerang berpengalaman Safee Sali yang mengharapkan skuad kebangsaan
akan lebih bersedia berdepan dua pasukan pilihan Kumpulan B itu.
“Arahan sudah diberikan AFC
untuk kita bermain di Pyongyang dan mereka juga sudah memberikan jaminan
keselamatan. Biarpun ada jaminan, kebimbangan itu tetap ada, kita harap AFC
dapat menitikberatkan soal keselamatan pasukan nanti.
“Sebagai pemain, kami akan
tetap bersedia, kami tidak akan lari daripada berjuang. Cuma ini situasi sukar
buat kami kerana tempoh singkat dalam membuat persiapan serta terpaksa berdepan
dua perlawanan dengan pasukan kuat,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Perlawanan pertama Korea Utara
dengan Harimau Malaysia sebelum ini ditangguhkan susulan hubungan tegang antara
kedua-dua negara selepas kematian abang ipar pemimpin Korea Utara Kim Jong-un
iaitu Kim Jong-nam yang dipercayai mati dibunuh di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.
Korea Utara enggan beraksi di
venue berkecuali dan selepas menilai situasi hubungan semasa kedua-dua negara,
AFC kelmarin mengubah pendirian untuk meneruskan perlawanan di Pyongyang.
Safee, 33, yang kini mewakili
PKNS FC mengharapkan keputusan positif dicapai di gelanggang lawan itu buat
membakar semangat sebelum berdepan Lubnan di Larkin.
“Walaupun beraksi di tempat
lawan, kami tetap mengharapkan keputusan positif. Jika boleh membawa pulang satu
mata sudah boleh dianggap pencapaian baik,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 3:36 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan