NELO VINGADA dan Tan Cheng Hoe
(kiri) berbincang ketika sesi latihan skuad Harimau Malaya di Padang Sri Gelam,
Johor Bahru semalam. Harimau Malaya akan menentang Lebanon dalam kempen
kelayakan Piala Asia pada 13 Jun ini. UTUSAN/NUR AISYAH MAZALAN
Khairul Ali
31 Mei 2017 3:00 AM
JOHOR BAHRU 30 Mei - Walaupun
dikenali sebagai peminat pemain muda namun tidak bermakna ‘kuda tua’ tidak akan
mendapat tempat dalam perancangan Nelo Vingada selagi individu itu mempamerkan
prestasi yang layak untuk diberikan perhatian
Jurulatih baharu Harimau Malaya
itu berkata usia tidak menjadi masalah selagi pemain yang dipanggil menyertai
kem latihan skuad kebangsaan dapat menampilkan persembahan terbaik.
Pengendali dari Portugal itu,
yang masak dengan bola sepak Eropah, berkata pemain berusia lebih 30 tahun yang
masih lagi mampu bermain dengan hebat tetap dipanggil untuk menyarung jersi
kebangsaan Itali.
“Pemain bola sepak yang baik
tidak berdasarkan umur, ambil contoh pemain-pemain di Eropah seperti Itali,
pemain berusia 34 atau 35 tahun masih bermain pada tahap tertinggi.
“Saya tidak memandang pada umur
atau latar belakang pemain, apa yang saya pandang adalah kualiti seseorang
pemain, itu yang penting,” ujarnya.
Ditanya mengenai tindakan empat
pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang keluar daripada persaraan antarabangsa dan
dipanggil menyertai kem pasukan kebangsaan, Vingada berkata perkara itu berlaku
sebelum kehadirannya.
“Saya tidak mendapat maklumat berhubung
perkara tersebut dan berlaku sebelum saya tiba di sini. Apa yang saya tahu
panggilan untuk menyarung jersi kebangsaan adalah satu kebanggaan bagi pemain
bola sepak,” ujarnya.
Dengan Vingada hanya tiba di
Johor Bahru pada 23 Mei lalu, pemilihan pemain telah dilakukan oleh pembantunya
Tan Cheng Hoe yang memanggil sembilan ‘kuda tua’ berusia atas 30 tahun daripada
26 yang tersenarai.
Tugasan Vingada selepas
dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya adalah menyiapkan pasukan untuk
menghadapi Lebanon dalam kelayakan Piala Asia 2019 pada 13 Jun ini.
Vingada yang memulakan kerjanya
bersama skuad kebangsaan di Padang Sri Gelam di sini malam tadi berkata, aspek
tersebut merupakan perkara paling sukar dalam tugasnya.
Beliau mengakui memberi
keyakinan kepada pasukan pembantunya dalam pemilihan pemain kerana dia sendiri
memerlukan masa untuk meneliti setiap daripada mereka dan mempelajari selok
belok sukan bola sepak tempatan.
“Kami memulakan sesi latihan
pertama ini dengan langkah positif, apa yang penting adalah menerapkan semangat
bersatu dalam pasukan sama ada dalam kalangan pemain dan pengurusan.
“Saya mempunyai masa yang
singkat dalam mempersiapkan pasukan menjelang perlawanan 13 Jun ini, namun saya
yakin akan dapat mencari keserasian dan kombinasi terbaik antara mereka,”
katanya selepas sesi latihan.
Sesi latihan bermula pada pukul
10.30 malam tadi dan tamat kira-kira 12 tengah malam dengan Presiden Persatuan
Bola Sepak Malaysia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berada di tepi padang.
sumberArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-kuda-tua-bukan-masalah-besar-8217-1.487831#ixzz4ibjWLtXE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan