Ahad, 28 Mei 2017

Bicskei kekal kesebelasan utama



ARKIB : 15/04/2005
Daripada JOhari Shawal 
TAIF - Skuad bola sepak kebangsaan mahu meneruskan persembahan cemerlang dalam Sukan Perpaduan Islam Pertama ini, kali ini berusaha pula mengatasi Syria untuk menentukan tempat ke separuh akhir dalam aksi suku akhir di sini awal pagi esok.

Kemenangan 2-0 pasukan bimbingan jurulatih, Bertalan Bicskei ke atas Pakistan kelmarin dan kemudian diisytihar juara Kumpulan D selepas menang undian untuk menentukan pasukan teratas yang dilakukan sejurus selepas perlawanan Malaysia-Pakistan, meneruskan aksi skuad negara pada temasya sulung ini.

Undian dibuat selepas Malaysia dan Maghribi terikat kedudukan mata dan jaringan gol. Maghribi turut menang 2-0 ke atas Pakistan sebelum ini dan pertarungan Malaysia-Maghribi pula berkesudahan seri tanpa jaringan.

Syria muncul naib juara Kumpulan B untuk menempah pertemuan dengan Malaysia manakala Maghribi menentang juara kumpulan itu, Mali yang berlangsung di Madinah.

``Menang ke atas Pakistan melegakan kerana sebagai juara, kami kekal di Taif manakala naib juara bertandang ke Madinah.

``Kami khuatir jika kami ke Madinah (kira-kira 500 kilometer dari Taif), pemain akan keletihan,'' kata Bicskei.

Jurulatih dari Hungary itu berkata, pemain telah menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Taif yang agak dingin kerana daerah itu terletak di kawasan lebih tinggi dari paras laut, berbanding di Madinah dan Jeddah.

``Sukar untuk menembusi pertahanan Pakistan pada babak pertama. Pemain kita juga bermain agak perlahan ketika itu tetapi pada babak kedua mereka mula bermain pantas dan berusaha memburu jaringan tetapi masih sukar.

``Saya mengambil keputusan mengubah sedikit taktik permainan dengan mengeluarkan Liew Kit Kong ,'' kata Bicskei.

Mengenai pertemuan dengan Syria esok, Bicskei tidak mendapat gambaran atau sebarang maklumat mengenai kekuatan pasukan itu.

Bisckei akan mengekalkan barisan kesebelasan pemainnya untuk pertemuan dengan Syria. Bahagian pertahanan diterajui Mohd. Khairunnisam Shahabuddin dan Lim Chan Yew selain Mohd. Syamsuri Mustafa di pintu gawang. Mohd. Shukor Adan terus bergandingan bersama Idris Karim manakala Mohd. Nor Ismail dan Fadzli berusaha memburu gol. - Utusan

BARISAN KEMUNGKINAN

Mohd. Syamsuri Mustafa, Mohd. Khairunisam Shahabuddin, Lim Chan Yew, Mohd. Fadzly Alias, Ahmad Tharmini Saiban, Mohd. Shukor Adan, Idris Karim, Liew Kit Kong, Mohd. Ivan Yusof, Mohd. Nor Ismail, Mohd. Fadzli Saari. - Utusan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iMyg4iNW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan