ARKIB : 11/12/2004
|
PEMAIN tengah Liew Kit Kong sekali lagi menjadi nadi dengan jaringan pembukaannya membantu Malaysia memahatkan kemenangan kedua dengan berpesta gol, membaham Filipina 4-1 dalam perlawanan Kumpulan B Kejohanan Piala Tiger di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Rentetan daripada tandukan cantik Kit Kong seperti mana yang dilakukannya sewaktu menewaskan Timor Leste 5-0 Rabu lalu, pemain Perak itu sekali lagi menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-17 bagi memulakan pesta gol Malaysia ke atas Filipina.
Malam yang penuh gemilang milik Malaysia di hadapan kira-kira 2,000 penonton turut menyaksikan Khalid Jamlus yang dikecam kerana aksi kurang bertenaga Rabu lalu meledakkan dua jaringan pada minit ke-66 dan ke-76 manakala pemain pertahanan, Muhammad Khairunnisam Hussain turut memahatkan nama sebagai penjaring gol Malaysia.
Skuad kebangsaan sepatutnya memperoleh lima gol jika tidak kerana kegagalan ketua pasukan, Rosdi Talib menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-21.
Gol saguhati Filipina dijaringkan pemain gantian, Chad Edward Gould pada minit-minit terakhir perlawanan.
Kemenangan tersebut mencerahkan laluan Malaysia ke separuh akhir tetapi perlu menang dengan Myanmar dalam perlawanan ketiga Ahad ini.
Selepas jaringan Kit Kong di babak pertama, Filipina yang ketinggalan lebih banyak mempamerkan permainan kasar di babak kedua.
Bagaimanapun itu tidak menghalang Khalid menjaringkan gol kedua apabila dia menolak mudah ke jaring selepas mendapat hantaran Amri.
Belum sempat Filipina mengatur gerak memburu gol, Muhammad Khairunnisam meledakkan jaringan ketiga daripada sepakan bebas.
Pada minit ke-76, Malaysia sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti dan Khalid yang diberi kepercayaan meledakkan sepakan kencang menewaskan penjaga gol Filipina buat kali keempat.
MALAYSIA: Mohamad Syamsuri Mustafa, Norhafiz Misbah, Wan Rohaimi Ismail, Mohd. Fadzli Saari, Chan Wing Hoong, Mohd. Amri Yahyah, Liew Kit Kong, Muhammad Shukor Adan, Muhammad Khaironnisam Hussain, Rosdi Talib, Muhammad Khalid Jamlus.
FILIPINA: Louie Michael Casas, Wilson Delacrus, Raymund Tonog, Roel Gener, Mark Peterson, Christopher Robert, Jefferey Liman, Ariel Zerrudo, Anton Edward Del, Alexander Borromeo, Peter Jaugan.
MALAYSIA 4
Liew Kit Kong m17
Muhammad Khalid Jamlus m66, m76 (pen)
Muhammad Khairunnisam Hussain m74
FILIPINA 1
Chad Edward Gould m90
Tiada ulasan:
Catat Ulasan