Jumaat, 19 Mei 2017

Beri Vingada peluang buktikan kebolehannya – Khairy



Khairy JAMALUDDIN menyerahkan bendera Malaysia kepada pemain
KHAIRY JAMALUDDIN menyerahkan bendera Malaysia kepada pemain badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang mengetuai skuad Piala Sudirman ke Goald Coast, Australia, di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam.

17 Mei 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 16 Mei – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berharap semua pihak dapat memberi peluang terlebih dahulu kepada pengendali baharu Harimau Malaya, Nelo Vingada untuk membuktikan kredibilitinya.

Malah, beliau percaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mempertimbangkan semua pilihan, keputusan melantik pengendali dari Portugal itu telah dibuat berdasarkan rekodnya dan bertepatan dengan perancangan presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Beri dia(Vingada) peluang untuk buktikan diri. Saya pasti FAM sudah mempertimbangkan semua pilihan yang ada sebelum keputusan ini dibuat.

“Saya juga percaya keputusan dibuat berdasarkan rekodnya dan mungkin perancangan yang sudah dicadangkannya kepada Presiden FAM.

“Jadi bagi dia peluang untuk sesuaikan diri dulu dan membuktikan bahawa beliau adalah pilihan yang terbaik,” kata Khairy ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan skuad badminton negara yang akan beraksi pada kempen Piala Sudirman di Gold Coast, Australia, di Akademi Badminton Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, FAM mengumumkan pelantikan Vingada atau nama penuhnya Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada sebagai jurulatih baharu pasukan bola sepak kebangsaan bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee.

Vingada, 64, akan melaporkan diri pada 25 Mei dengan tugasan pertama menantinya adalah perlawanan bertemu Korea Utara dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Pyongyang, 8 Jun depan.

Dia berpengalaman dalam kerjaya kejurulatihan melebihi 35 tahun dan merupakan tokoh popular di rantau Asia.

Dia juga pernah menjadi jurulatih untuk pasukan senior Arab Saudi (1996-1997), pasukan Olimpik Mesir (2004-05), pasukan kebangsaan Jordan (2007-09), dan skuad Olimpik Iran (2014).

Sementara itu, berhubung dengan venue di Pyongyang, Khairy percaya Kementerian Luar Negeri telah berbincang dengan FAM.
SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 17 MEI 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan