Sabtu, 6 Mei 2017

Pemain kembali yakin untuk aksi ketiga

ARKIB : 11/01/2005
BURUAN tempat ketiga menjadi matlamat utama skuad bola sepak kebangsaan yang akan turun habis-habisan menentang Myanmar pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di Stadium Jalan Besar, Singapura, Sabtu ini.
Keyakinan untuk menebus kehampaan itu cukup tinggi selepas kegagalan skuad kebangsaan mara ke perlawanan akhir Piala Tiger dikecewakan oleh Indonesia.
Sejak pemain kebangsaan mula melapor diri Sabtu lalu segala kekecewaan lepas dibuang seketika dan wajah keceriaan tampil menerbitkan rasa yakin untuk membenam Myanmar.
``Sejak pemain melapor diri mereka sudah melupakan kekecewaan bertemu Indonesia dan semangat mereka tidak terjejas menjelang pertemuan dengan Myanmar Sabtu ini.
Semangat
``Pemain juga sudah melaungkan semangat membara dan akan turun habis-habisan untuk memastikan gelaran tempat ketiga menjadi milik Malaysia,'' kata jurulatih kebangsaan, Bertalan Bicskei.
Beliau berkata, pemain sedar hanya kemenangan ke atas Myanmar akan dapat menebus kembali maruah skuad Malaysia sesudah mudah dijinakkan oleh Indonesia.
Misi penting itu kata Bicskei selain memburu tempat ketiga adalah untuk menebus malu yang dipalitkan oleh Myanmar sewaktu perlawanan peringkat kumpulan apabila mereka menewaskan Malaysia 1-0.
``Ini adalah dua misi utama skuad kebangsaan dan kali ini kita tidak lagi kalah buat kali kedua,'' ujarnya.
Ujarnya, semangat juang pemain kebangsaan sudah kembali pulih dan tempoh latihan seminggu akan digunakan sebaik mungkin untuk menutup setiap kelemahan ketara yang dipapar sewaktu aksi menentang Indonesia minggu lalu.
``Melihat semangat pemain yang jelas bersemangat, adalah tidak mustahil kesebelasan terbaik yang akan diturunkan Sabtu ini mampu menjinakkan Myanmar,'' ujarnya.
Sekalipun Myanmar dilihat pincang kehilangan empat pemain utama digantung satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah sewaktu bertemu Singapura, Bicskei tetap menyifatkan pasukan itu ada kekuatan tersendiri.
``Tanpa empat pemain, Myanmar sebenarnya masih ada pemain lain yang mampu mengisi kekosongan tersebut dan pemain telah diingatkan tidak ambil mudah,'' ujarnya.
Kekuatan
Bicskei dijangka mempertaruhkan kesebelasan yang sama sewaktu tunduk kepada Indonesia dengan gandingan Muhammad Khalid Jamlus dan Amri Yahyah bakal mengemudi jentera serangan.
Selain itu jurulatih dari Hungary itu mengharapkan bahagian tengah membariskan Liew Kit Kong, Fadzli Saari, K. Nanthakumar dan Muhmmad Shukor Adan mampu membuat hantaran yang lebih kemas.
``Saya akui bahagian tengah kurang bertenaga untuk melancarkan serangan dan sesi latihan yang ada saya gunakan untuk memantapkan kembali corak hantaran yang lebih tepat,'' ujarnya.
Selebihnya, Bicskei masih mempertaruhkan kekuatan benteng menerusi gandingan Norhafiz Misbah, Wan Rohaimi Wan Ismail, Muhammad Khaironnisam Hussain dan Rosdi Talib mengemudi benteng pertahanan.
Skuad kebangsaan dijangka berlepas ke Singapura Rabu ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan