Ahad, 28 Mei 2017

Malaysia perlu atasi Pakistan



ARKIB : 13/04/2005

Pemain negara Liew Kit Kong (tengah) diasak oleh dua pemain Maghribi, El Mrini Muhammad (kiri) dan Tariq Miri dalam aksi Kumpulan D di stadium Raja Fahd, Taif kelmarin. Perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan.

TAIF - Skuad bola sepak kebangsaan turun untuk perlawanan terakhir Kumpulan D bertemu Pakistan di sini malam ini bagi menentukan kemaraan ke suku akhir pada Sukan Perpaduan Islam pertama ini dengan sekurang-kurangnya mencatat keputusan serupa dengan Maghribi kelmarin.

Seri tanpa jaringan dengan Maghribi memberi kelebihan kepada skuad negara untuk menamatkan aksi peringkat kumpulan selaku juara, dengan syarat pasukan bimbingan jurulatih, Bertalan Bicskei itu perlu menewaskan Pakistan dengan kelebihan tiga gol.

Jika skuad negara tewas, Pakistan akan mengiringi Maghribi ke suku akhir. Maghribi kini mengumpul empat mata selepas dua perlawanan. Kumpulan D hanya dibarisi tiga pasukan selepas Kuwait menarik diri daripada acara ini.

Mengulas tentang pertemuan dengan Pakistan itu, Bicskei tidak mahu menanam keyakinan terlalu tinggi terhadap kemenangan tetapi cukup sekadar layak ke suku akhir.

``Memang kita perlu menang tetapi bagi saya, layak ke suku akhir sudah amat melegakan. Jika melihat kepada aksi Pakistan ketika bertemu Maghribi tempoh hari, kita boleh kalahkan mereka.

``Tetapi saya tidak mahu terlalu yakin dengan kemenangan, cuma saya mahu pemain melakukan yang terbaik dalam perlawanan itu nanti,'' kata jurulatih dari Hungary itu.

Pakistan tewas 2-0 kepada Maghribi pada perlawanan pembukaan dan skuad itu kini perlu menang ke atas Malaysia untuk menempah tempat ke suku akhir.

Mengenai perlawanan menentang Maghribi kelmarin, Bicskei berkata skuad dari Afrika itu memiliki kelebihan dari segi fizikal dan kepantasan.

``Mereka bermain begitu keras dan pantas dan kita terpaksa mengikut rentak permainan mereka. Barisan pertahanan juga bermain baik dalam perlawanan itu,'' katanya.

Bahagian pertahanan yang diterajui Mohd. Khaironnisam Shahabuddin dan Lim Chan Yew terpaksa bekerja keras sepanjang perlawanan itu terutama pada babak kedua.

Penjaga gol, Mohd. Syamsuri Mustafa juga banyak kali diuji dengan percubaan-percubaan berbahaya oleh rangkaian serangan Maghribi bagaimanapun, Syamsuri bermain cemerlang mengawal gawangnya sehingga beberapa kali terpaksa melayangkan badan menepis segala percubaan pasukan lawan itu.

Tetapi apa yang membimbangkan pasukan, bahagian serangan agak tumpul. Bicskei hanya meletakkan seorang penyerang, Mohd. Nor Ismail yang amat jarang dapat melepaskan diri daripada kawalan pertahanan Maghribi yang diketuai oleh Talal El Karkouri, pemain yang beraksi dengan kelab England, Charlton Athletic.

Mohd. Fadzli Saari pula diletakkan di barisan tengah bersama Mohd. Shukor Adan dan Idris Karim.

Serangan lebih banyak dimulakan dari sebelah kiri menerusi Liew Kit Kong. Kit Kong juga melepaskan satu peluang terbaik untuk menggegar gawang Maghribi dalam perlawanan itu.

Dalam pertemuan menentang Pakistan malam ini, Bicskei berkemungkinan menggunakan semula formasi dua penyerang, menggandingkan Mohd. Nor de- ngan Fadzli. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iMWlBvOl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan