ARKIB : 07/06/2005
Misi tebus malu
Oleh: AHMAD SYAHIR KASSIM
BARISAN pemain bola sepak
kebangsaan gigih menjalani latihan di Stadium Universiti Sains Malaysia (USM),
Pulau Pinang menjelang pertemuan kedua dengan Singapura di Stadium Bandaraya,
esok.
PULAU PINANG - Skuad bola sepak
kebangsaan mahu menebus maruah tewas 2-0 kepada Singapura Sabtu lepas apabila
sekali lagi berdepan pasukan negara jiran itu pada perlawanan persahabatan
kedua di Stadium Bandaraya, esok.
Selain itu, jurulatih negara,
Bertalan Bicskei turun berdepan tugas sukar untuk `mematikan' helah taktikal
rakan sejawatnya Radojko Avramovic yang bijak mengatur strategi memerangkap
pemain negara pada perlawanan Sabtu lalu.
Pemain kebangsaan yang beraksi
di gelanggang sendiri tidak seharusnya melepaskan peluang mempamerkan
persembahan memberangsangkan sekali gus menepis kritikan persembahan tidak
menentu skuad negara.
Pengurus pasukan negara,
Mohamad Bakar berkata, beliau yakin pemain negara mampu bangkit menebus
kekalahan, meskipun tidak dapat menyembunyikan kebimbangan dengan prestasi
tidak menentu.
Namun, katanya, pemain telah
berjanji untuk beraksi baik dan komited untuk mencapai kemenangan sekali gus
menceriakan peminat bola sepak negara.
``Mereka (pemain) sedar dengan
kesilapan lalu dan berjanji tidak mengulanginya pada perlawanan Rabu ini.
``Kekalahan lalu sudah menjadi
memori bagi pemain dan kini mereka bersemangat tinggi untuk mencari
kemenangan,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Pada perlawanan pertama, skuad
negara kecundang dengan dua jaringan pemain lincah Singapura, Noh Alam Shah
sekali gus memadam rekod tanpa kalah kepada negara jiran itu dalam tempoh lima
tahun.
Beliau mengakui masih banyak
kelemahan yang perlu dibaiki termasuk hilang konsentrasi, ketumpulan serangan
selain kerapuhan di bahagian tengah dan pertahanan.
Katanya, walaupun pada
keseluruhannya perlawanan pertama lalu seimbang, namun pasukan lawan bijak
menyempurnakan peluang berbanding skuad negara yang gagal menterjemahkan
peluang dengan jaringan.
``Pemain negara bermain baik
kira-kira 30 minit pertama tetapi setelah lawan memperoleh gol, prestasi dan
persembahan mereka menurun,'' katanya.
Mohamad berkata, benteng skuad
negara yang rapuh pada perlawanan lalu bakal diperkuatkan dengan kehadiran
semula Muhammad Khaironnisam Shahabudin yang pulih dari kecederaan.
Namun, di sebalik khabar
gembira itu, penjaga gol utama negara, Mohd Syamsuri Mustaffa mungkin tidak
dapat beraksi akibat kecederaan.
``Kekuatan benteng tidak cukup
untuk skuad negara mencapai kemenangan jika serangan berdepan dengan kesukaran
menembusi gawang lawan,'' katanya.
Justeru, katanya, tempoh yang
semakin singkat tumpuan jurulatih ialah menajamkan jentera serangan selain
memantapkan persefahaman pemain di bahagian tengah.
``Saya merasakan jurulatih akan
membuat perubahan dan pertukaran pemain bagi merealisasikan misi kemenangan,''
katanya.
Mohamad berkata, selain
memperkemaskan pasukan, tumpuan juga perlu menjurus kepada kekuatan serta
kelemahan pasukan lawan.
``Antaranya pemain negara perlu
bijak mengikat pergerakan perancang utama Singapura, Itimi Dicskson yang membuka
banyak ruang kepada penyerang mereka untuk menjaringkan gol,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iZl6aTvy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan