Jumaat, 5 Mei 2017

Pemain diingatkan beri tumpuan

ARKIB : 28/12/2004
JAKARTA - Perlawanan separuh akhir pertama kejohanan bola sepak Piala Tiger antara Indonesia dan Malaysia malam ini akan berlangsung sambil diselubungi suasana muram yang berkaitan kepada tragedi ombak besar `tsunami' melanda Asia Selatan ekoran gempa bumi di utara Sumatera.
Kedua-dua negara turut terlibat dengan kejadian itu dan Indonesia yang teruk menerima akibatnya berkabung selama tiga hari bermula semalam.
Perlawanan yang dijadualkan bermula pada pukul 8.45 malam waktu Malaysia akan dilewatkan seminit bagi memberi ruang kepada pemain-pemain ke-dua-dua pasukan bertafakur bersama-sama penonton di Stadium Gelora Senayan sebagai tanda simpati bukan sahaja kepada rakyat kedua-dua negara tetapi juga kepada setiap yang terlibat dalam bencana alam itu.
Pun begitu, jurulatih kedua-dua pasukan berharap tumpuan anak-anak buah masing-masing terhadap perlawanan tidak terjejas.
Setakat semalam, jualan tiket dikatakan menggalakkan. Stadium Gelora Senayan mampu menampung sehingga 120,000 penonton tetapi jurucakap Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) berkata, hanya 80,000 tiket akan dijual atas sebab-sebab keselamatan. Berdasarkan sambutan semasa, mereka menjangkakan kesemua tiket yang disediakan akan terjual.
Kedua-dua pasukan pernah bertemu dua kali dalam perlawanan persahabatan tahun ini dan berdasarkan keputusan, masing-masing sama kuat.
Perlawanan pertama di Bukit Jalil menyaksikan Indonesia dan Malaysia seri 0-0 dan mengulangi keputusan seri apabila bertemu buat kali kedua di Johor Bahru, 1-1. Kedua-dua pasukan berkata mampu menang tetapi dalam masa yang sama tetap menghormati lawan.
Juara Kumpulan A Indonesia diletakkan sebagai pilihan setelah juara bertahan dan pemenang tiga kali, Thailand buat kali pertama gagal layak ke peringkat kalah mati. Mereka belum dibolosi selepas tamat persaingan di peringkat awal dan boleh mendabik dada kerana telah menjaringkan 17 gol Malaysia pula adalah pasukan underdog tetapi digeruni setelah menundukkan Thailand dalam kempen Kumpulan B. - Utusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan