17 MEI 2017
Kuala Lumpur: Persatuan Pemain
Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mahu jaminan keselamatan diberikan pihak
Korea Utara apabila skuad Harimau Malaya berkunjung ke ibu kota Pyongyang pada
8 Jun depan bagi aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 nanti.
Meskipun Konfederasi Bolasepak
Asia (AFC) meluluskan venue berkenaan, Timbalan Presidan PFAM Rezal Zambery
Yahya (gambar) tetap mahu isu keselamatan dititikberatkan dengan Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar delegasi awal bagi meninjau suasana di
negara itu.
Katanya, tindakan itu penting
bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai keadaan dan situasi apabila pemain
dan pegawai pasukan tiba ke Pyongyang awal bulan depan.
“Pertama sekali kami (PFAM)
menghormati keputusan dibuat AFC untuk mengadakan pertemuan kelayakan Piala
Asia antara Malaysia dan Korea Utara di sana.
“Mungkin keputusan terbaru itu
diraih selepas mendapati hubungan kedua-dua negara sudah kembali pulih dan
kerana itu Pyongyang dikekalkan sebagai lokasi perlawanan biarpun ada cadangan
memindahkannya ke venue berkecuali.
“Bagaimanapun, kami tidak boleh
ambil mudah sebaliknya pihak berkepentingan harus memastikan jaminan
keselamatan dapat dipastikan sebelum pasukan berangkat ke sana.
“Kami tidak mahu pemain
diganggu dengan isu keselamatan apabila mereka tiba di negara itu nanti. Pemain
perlu dijaga dan dikawal rapi hingga mereka balik ke Malaysia semula.
“FAM boleh memantau terlebih
dulu tahap keselamatan pasukan dan pergi awal ke Korea Utara. Jika rasa tidak
selamat, kami boleh cadangkan langkah pencegahan demi kebaikan pasukan,”
katanya kepada Arena Metro, semalam.
Kelmarin, AFC memutuskan aksi
pertama membabitkan Korea Utara dan pasukan kebangsaan akan dilangsungkan di
Pyongyang selepas kerajaan Malaysia menarik semula sekatan perjalanan rakyat
negara ini ke sana atas situasi geo-politik yang mengancam keselamatan.
Hubungan kedua-dua negara
tegang susulan pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim
Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Februari lalu.
Insiden itu menyebabkan jadual
asal yang sepatutnya berlangsung pada 28 Mac lalu ditangguhkan kepada 8 Jun
depan.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 8:28 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan