Jumaat, 26 Mei 2017

26 pemain dipanggil untuk B23 AFC



25 Mei 2017
Ong Kim Swee

KETUA jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan 26 pemain untuk latihan pusat bermula Isnin ini, sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Bangkok, Thailand, Julai ini dan Sukan Sea pada Ogos.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 17 pemain daripada skuad 23 pemain ke Kejohanan B-23 Piala Dubai 2017 kendalian Frank Bernhardt di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Mac lalu, dikekalkan Kim Swee untuk kem latihan pusat itu.

Sembilan lagi pemain terdiri daripada muka baharu atau mereka yang pernah dipanggil sebelum ini iaitu Amirul Hisyam Awang Kechik, Ariff Farhan Md Isa, K. Kannan, Ali Imran Alimi, Danial Amier Norhisham, Ahmad Azriddin Rosli, Tommy Mawat Bada, Amierul Hakimi Awang dan Raphi Azizan Mariappen.

Menurut kenyataan itu, selepas menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya selama 10 hari bermula 29 Mei, skuad Projek Sukan SEA akan ke Xiangtan, China pada 8 Jun untuk menghadapi perlawanan persahabatan pertama menentang skuad B-22 China pada 10 Jun.

Mereka kemudian akan ke Guangzhou pada 11 Jun untuk baki dua lagi aksi persahabatan menentang skuad simpanan Guangzhou R&F pada 13 Jun dan skuad simpanan Guangzhou Evergrande pada 15 Jun sebelum kembali ke tanah air pada 16 Jun.

Bagi saingan kelayakan  Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Bangkok dari 19 hingga 23 Julai ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan H bersama Thailand, Indonesia dan Mongolia.

SENARAI PEMAIN:

Penjaga gol: Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah), Haziq Nadzli (JDT), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Kelantan).

Pertahanan: Ariff Farhan Md Isa (Kedah), Syahmi Safari, K. Kannan (Selangor), Ali Imran Alimi (Felda Utd), Adib Zainudin (Felcra FC), Syazwan Andik Ishak (JDT II), Syazwan Zaipol Bahari (PKNP), Mohamad Raphi Azizan Mariappen (PJ Rangers).

Pemain tengah: Amirul Hisyam Awang Kechik (Kedah), Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang), Adam Nor Azlin (Selangor), Danial Amier Norhisham, Ahmad Azriddin Rosli (Felda Utd), Safawi Rasid (JDT), Nur Shamie Iszuan Amin, Tommy Mawat Bada (Sarawak), Ahmad Khairil Anuar Zamri (Perak).

Penyerang: Syafiq Ahmad (Kedah), S. Kumaahran, Jafri Firdaus Chew (Pulau Pinang), Danial Ashraf Abdullah (Kelantan), N. Thanabalan (Felcra FC). - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 25 Mei 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan