Selasa, 6 September 2016

Harap berlangsung aman

 
Amri bersama pasukan berlepas ke Solo untuk menentang Indonesia esok (Selasa). FOTO NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN.

BERNAMA
Solo: Skuad Harimau Malaysia berharap penyokong Indonesia tidak bertindak agresif ketika menyokong pasukan mereka dalam perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di Stadium Manahan di sini esok.

Ketua pasukan Malaysia Mohd Amri Yahyah berkata, walaupun pemain negara bersedia menghadapi tekanan penyokong tuan rumah, mereka tetap mengharapkan tiada tindakan agresif yang boleh mengganggu permainan.

"Kita faham keadaan yang akan dihadapi apabila bermain di gelanggang lawan tetapi janganlah sampai berlaku sesuatu yang tidak diingini sehingga mengganggu permainan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Amri berkata kedua-dua pasukan yang beraksi esok berjanji akan bermain secara persahabatan dan harmonis walaupun mengharapkan kemenangan, berikutan perlawanan itu lebih kepada persiapan menghadapi kempen Piala AFF pada November depan.

"Kita tahu penyokong Indonesia telah lama menunggu perlawanan antarabangsa dan apa yang diharapkan ialah permainan akan berlangsung dengan baik dan aman," katanya lagi.

Beliau berkata skuad Indonesia adalah pasukan yang kuat dan walaupun mereka tidak beraksi di peringkat antarabangsa selama setahun akibat penggantungan, pemain republik itu masih beraksi di liga tempatan negara berkenaan.

Stadium Manahan mampu menampung 25,000 orang dan peminat bola sepak negara itu dijangka membanjiri stadium berkenaan setelah kehausan aksi perlawanan antarabangsa selama setahun.

Sementara itu, ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata walaupun pasukannya mengharapkan kemenangan, apa yang lebih penting baginya ialah mencari keserasian antara pemain.

"Kita baru sahaja menubuhkan skuad ini dan ia adalah ujian untuk melihat keserasian pemain terutamanya apabila bermain di luar negara," katanya.

Kim Swee berkata perlawanan persahabatan itu juga akan membuka ruang kepada beliau untuk memilih pemain yang layak beraksi pada Piala AFF nanti.

Ini adalah perlawanan antarabangsa pertama bagi pasukan Indonesia setelah Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) digantung setahun oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana campur tangan kerajaan dalam urusan persatuan itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 8:51 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan