ARKIB : 19/07/1998
SIKAP terlalu yakin membawa
padah buat pendahulu liga, Pahang yang tewas 1-2 kepada pasukan tercorot,
Olimpik 2000 dalam perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Darulmakmur,
malam tadi.
Ini merupakan kemenangan kedua
skuad muda negara dalam masa empat hari selepas mengejutkan Selangor 3-1 di
Kuala Lumpur.
Bagaimanapun Pahang, yang
beraksi tanpa dua pemain regular _ penjaga gol, Mudzar Muhammad dan Emmanuel
Ampiah kelihatan tidak menghadapi masalah apabila mendahului pada separuh masa
pertama menerusi jaringan pemain import Rusia, Viatcheslav Melnikov.
Ketinggalan dengan gol tunggal
itu, pasukan Olimpik 2000 kembali mengasak pada separuh masa kedua dan berjaya
menjaringkan dua gol melalui Roslee Derus dan Chow Chee Weng untuk memberi
mereka kemenangan keempat dari 20 perlawanan.
Melnikov, yang menjaringkan dua
gol dalam kemenangan 2-1 Pahang pada pusingan pertama ke atas pasukan Olimpik
2000 di gelanggang lawan, 15 Mei lepas, sekali lagi menjaringkan gol pertama
pada minit ke-28. Ini adalah gol ke-15nya musim ini dan menjadikannya sebagai
penjaring terbanyak liga.
Melnikov sekali lagi meletakkan
bola ke dalam jaring lima minit kemudian tetapi nasibnya kurang baik kerana
pengadil telah meniup wisel offside sebelum itu.
Pasukan Olimpik yang kurang
idea dan kreatif pada separuh masa pertama kelihatan lebih teratur pada separuh
masa kedua dan corak baru ini menghasilkan gol apabila dua minit selepas
permainan separuh masa kedua bermula Roslee menjaringkan gol penyamaan dan
pertama buat dirinya musim ini.
Gol kemenangan Olimpik muncul
pada minit ke-70.
Chee Weng, yang menjaringkan
satu gol dalam kemenangan 3-1 pasukan ini ke atas Selangor, empat hari lepas,
mengejar bola di celah pertahanan dan menendang kencang ke arah gol Pahang
tanpa dapat diselamatkan penjaga gol Zuraimi.
PAHANG: Zuraimi Hassan,
Jalaludin Jaafar, Suhaimi Mohd Nor, Khairulniza Mustaffa, Baharuddin Othman
(Ahmad Shaharudin Rosdi), Azaruddin Aziz, Ahmad Shukri Mustapha (Mohd Ali
Tahar), Jozsef Duro (Baharuddin Abdullah), Shahrul Nizam Sahat, Viatcheslav
Melnikov, Azizul Kamaludin.
OLIMPIK 2000: Mohd Sany Fahmy,
Nik Ahmad Fadly Nik Leh, Johny Joseph, Yuzaiman Zahari, M. Gopalan (Faziallah
Mamat), S. Jayaprakash, Azmir Nor Hakim Burhan (Haled Masrom Khalid), Roslee
Derus, Chow Chee Weng, V. Saravanan, Das Gregory (Chan Wing Hoong).
Perak pula mengejutkan Selangor
1-0 di Stadium Shah Alam dengan gol tunggal jaringan N. Nagaraja pada minit
ke-51.
Dalam perlawanan lain, Brunei
menewaskan Kuala Lumpur 3-2 Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Brunei ketinggalan 0-1 pada
separuh masa pertama. Gol Brunei dijaringkan oleh Liew Chuan Fue (minit ke-56
dan 62) dan Mohamad Brian Iman minit ke-75 sementara Kuala Lumpur memperoleh
gol menerusi K. Nanthakumar pada minit ke-18 dan Mior Nor Samsul minit ke-79.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4K6o5PSHd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan