Selasa, 13 September 2016

Skuad negara masih gementar

ARKIB : 03/08/1998
JURULATIH negara, Hatem Souissi menganggap skuad bawah 19 tahun negara berada dalam keadaan gementar dan tidak berkeyakinan ketika perlawanan pembukaan kelayakan kumpulan 7 Bola Sepak Bawah 19 tahun Asia di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam kelmarin, lapor ISHAK SALLEH.

Katanya, pemain-pemain muda negara tidak menunjukkan persembahan seperti yang diharapkan terutama pada separuh masa pertama.

Hatem memberitahu, ini mungkin mereka merasa takut kerana menentang Laos merupakan perlawanan pertama yang ditempuhi pada peringkat antarabangsa.

''Separuh masa kedua menyaksikan pemain-pemain negara mulai bekeyakinan dan dapat bergerak serta mengatur serangan ke kubu lawan.

''Sekiranya persembahan sebagaimana separuh masa kedua menentang Laos itu dapat dikekal serta diperbaiki, peluang untuk mencipta kemenangan ke atas Singapura, malam ini, cukup cerah.

Kelmarin Malaysia menewaskan Laos 4-0 dengan salah satu daripada gol tersebut adalah jaringan sendiri pemain pertahanan Laos, Kholadesh Phonphachanh pada minit ke-35.

Tiga lagi gol dijaringkan oleh ketua pasukan, Hairuddin Omar pada minit ke-69, Akmal Rizal Ahmad Rakhil (82) dan Mahathir Mohd. Jamal Mohd. (90).

Hatem mengakui dua daripada pemainnya menunjukkan permainan yang cemerlang iaitu S. Jayaprakash dan R. Nanthakumar yang banyak menimba pengalaman menerusi Liga Perdana.

''Saya yakin, pemain kami kini mempunyai semangat yang lebih tinggi untuk menghadapi Singapura.

''Bagaimanapun, mereka juga perlu berhati-hati dan apa yang penting ialah mencapai kemenangan untuk negara,'' tambah Hatem lagi.

Sementara itu, pengurus pasukan Singapura, Colin Chee berkata, aksi China kelmarin memaparkan mutu permainan yang terbaik dan sukar bagi pasukan lain untuk menewaskan mereka.

Katanya, setelah melihat kehancuran pasukannya diperbudakkan China 0-5, tidak mustahil jika pasukan Tembok Besar itu menempah tempat ke pusingan akhir di Chiang Mai, Thailand, Oktober depan.

Chee tidak meramalkan apa-apa dalam perlawanan Malaysia-Singapura, malam ini sebaliknya membuat andaian jika Malaysia mahu mencatatkan kejayaan, mereka perlu mencipta jaringan awal.

Dia yakin, Malaysia akan berjuang habis-habisan untuk menang sekali gus mara menentang China pada perlawanan terakhir bagi menentukan johan kumpulan dan layak ke pusingan akhir di Thailand.

Bagi jurulatih China, Chen Jingang, aksi beberapa pemainnya kelmarin melangkaui tahap sebenar yang diharapkan.

Katanya, China lebih teratur serta mempunyai pertahanan yang baik tetapi tidak menolak kemungkinan bahawa dalam perlawanan bola sepak, apa sahaja boleh berlaku.

Sementara jurulatih Laos, Vangchai Muangmany berkata, pasukannya tiba ke sini tanpa persiapan yang cukup dan keadaan itu menyebabkan mereka serba kekurangan.

Katanya, apa yang Laos mampu lakukan kini ialah menggunakan semua tenaga pemain yang ada secara maksimum serta memberikan tentangan sedaya mungkin.

JADUAL HARI INI
7.45 malam _ China lwn Laos; 9.30 malam _ Malaysia lwn Singapura

(Semua perlawanan di Stadium Larkin, Johor Bahru)

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4KCsRkbf9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan