Khamis, 28 Julai 2016

Skuad Olimpik cukup bertenaga

ARKIB : 16/03/1998
WALAUPUN skuad Olimpik 2000 hanya mencipta kemenangan tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang, jurulatih Hatem Souissi tidak akan membuat rombakan besar-besaran bagi menghadapi Melaka dalam perlawanan kumpulan A, pusingan kelayakan Perdana Satu, di Stadium Merdeka, Sabtu ini.

Ini bermakna Hatem tidak bercadang untuk memanggil semula tiga tonggak skuad Olimpik 2000 yang digantung kerana masalah disiplin, M. Elango, V. Saravanan dan Khalid Jamlus sekalipun sedar lawan bakal memberi saingan sengit.

Ternyata, kemenangan ke atas skuad Harimau Kumbang belum dapat ''mengubat'' kebimbangan jurulatih kelahiran Tunisia itu sekalipun pasukan bimbingannya sudah mencerahkan peluang ke separuh akhir Perdana Satu sebaik berakhir perlawanan dengan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, kelmarin.

Bagaimanapun, Hatem berkata, rombakan besar-besaran tidak perlu kerana skuad Olimpik 2000 sebenarnya beraksi di atas kemampuan pemain yang bergerak sebagai sebuah pasukan.

''Kita sekarang bermain sebagai sebuah pasukan, memang kelazimannya terdapat kelemahan apabila menghadapi sesuatu perlawanan,'' tambah beliau.

Sehubungan itu, kata Hatem, beliau tidak perlu menanggil semula ketiga-tiga pemain tersebut yang sebelum ini sudah diberi peluang bermain.

Kemenangan ke atas skuad Harimau Kumbang menyaksikan skuad Olimpik 2000 berkongsi enam mata dengan Pulau Pinang untuk kembali menjadikan persaingan kian getir.

''Saya gembira kerana pasukan Olimpik 2000 menang untuk mencerahkan laluan ke separuh akhir kelayakan Perdana Satu tetapi persaingan sebenarnya masih terbuka,'' kata Hatem.

Ternyata ada kebenarannya Hatem menaruh kebimbangan kerana skuad bimbingannya perlu mencari kemenangan ke atas Melaka yang sudah tentu ingin membalas dendam ke atas skuad Olimpik dan Pulau Pinang selepas tewas 0-1.

Melaka yang sudah dua kali tewas akan berhempas pulas mencari kemenangan apabila bertemu skuad Olimpik 2000 dan Pulau Pinang untuk melangkah ke separuh akhir kelayakan Perdana Satu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Fi12TPkR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan