Sabtu, 11 Jun 2016

'Fokus jelajah Oceania dulu'

Aziman Rosdi -aziman@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee tidak mahu terlalu ghairah untuk menguji kekuatan anak buahnya dengan pencabar memiliki ranking lebih tinggi kerana mengakui mereka masih dalam proses pembentukan pasukan.

Walaupun ada pihak mempertikaikan pemergian skuad kebangsaan dalam Siri Jelajah Oceania, menentang pasukan ranking lebih rendah seperti Papua New Guinea, New Caledonia dan Fiji, beliau yakin perancangannya itu akan memberi manfaat kepada pasukan menjelang kejohanan Piala AFF hujung tahun ini.

“Jelajah Oceania bukan saja penting dari segi keputusan dan ranking, tapi saya mendapat 20 hari untuk membentuk pemain.

“Selepas Jelajah Oceania, kami hanya dapat berkumpul seminggu sebelum menghadapi sesuatu perlawanan, jadi masa kita sudah berkurangan,” katanya.

Berdasarkan ranking terkini FIFA, Malaysia menduduki tangga ke-173, berada pada kedudukan lebih baik berbanding New Caledonia (183), Fiji (186) dan Papua New Fuinea (193).

Bagaimanapun Kim Swee, 45, yang berlepas ke Brisbane, Australia malam tadi bersama 24 pemain bagi menjalani latihan sebelum menghadapi tiga perlawanan persahabatan berstatus A bermula dengan Papua New Guinea pada 17 Jun, New Caledonia (22 Jun) dan Fiji (26 Jun) itu menegaskan mereka tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan.

“Dalam Kejohanan Negara-Negara Oceania, Papua tewas di final kepada New Zealand menerusi sepakan penalti, jadi ketiga-tiga negara ini bukan negara mudah.

“Jarak negara Oceania ini sangat jauh antara satu sama lain, jadi kalau bermain banyak perlawanan mungkin ranking mereka akan lebih tinggi,” katanya.

Kemenangan Harimau Malaysia ke atas Timor Leste dengan dua keputusan 3-0 dalam aksi timbal balik di Larkin bagi saingan play-off untuk mara ke pusingan kelayakan kumpulan Piala Asia 2019 banyak memberi petanda positif kepada pasukan negara.

Selain keyakinan pemain semakin meningkat, skuad kendalian Kim Swee itu mula mendapat perhatian dengan beberapa negara menunjukkan minat untuk menguji kekuatan termasuk juara rantau ini Thailand pada September atau Oktober ini.

“Sekarang Thailand berminat untuk bermain dengan kita. Begitu juga Indonesia, Myanmar dan Singapura yang sebelum ini tak nak main dengan Malaysia.

“Memang ini ada membabitkan soal taktik tapi biar kita meningkat sedikit demi sedikit sebelum bertemu pasukan dengan ranking lebih tinggi,” katanya.

Mengikut perancangan awal, Harimau Malaysia akan mengharungi empat perlawanan persahabatan dengan Singapura, Thailand, Indonesia pada September dan Oktober selain Afghanistan, Myanmar serta Hong Kong pula berada dalam senarai menunggu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:09 AM
 

DARI kiri, Datuk Mohd Yusof Mahadi, Kim Swee dan Khair Jones pada majlis berbuka puasa FAM bersama media dan sidang media pasukan bola sepak kebangsaan yang akan memulakan Siri Jelajah Oceania.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan