Isnin, 6 Jun 2016

'Moreh' Harimau Malaysia

Rizar Mohd Noor -rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Harimau Malaysia tidak menghadapi masalah untuk mencipta kemenangan apabila menewaskan Timor Leste 3-0 dan layak ke saingan kelayakan kumpulan Piala Asia dengan agregat 6-0 pada aksi di Stadium Larkin, malam tadi.

Gol yang dihasilkan menerusi Khair Jones pada babak pertama dan dua gol pada babak kedua menerusi Hazwan Bakri dan pemain gantian S Chanthuru membuktikan betapa percaturan Datuk Ong Kim Swee serba menjadi pada aksi kedua saingan play-off kelayakan Piala Asia.

Dengan membariskan barisan pemain yang sama ketika menewaskan Timor Leste 3-0 pada aksi pertama Khamis lalu, Kim Swee hanya melakukan perubahan di posisi sayap kiri apabila meletakkan Khair menggantikan Christie Jeyaseelan bagi menguatkan lagi posisi itu.

Harimau Malaysia yang hadir selaku pelawat pada aksi itu hampir memecah kebuntuan pada minit ke-10 apabila rembatan awal Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham ditampan penjaga gol Ramos Maxanches namun rembatan susulan Amirulhadi Zainal masih belum mampu mencipta jaringan.

Selepas mengasak bertubi-tubi, anak didik Kim Swee berjaya meleraikan jaringan pada minit ke-15 berpunca daripada sepakan lintang S Kunanlan cuba dirembat Hazwan, namun bola lemah itu singgah ke kaki Khair yang tidak dikawal mudah menolak bola menewaskan Maxanches.

Selang dua minit kemudian, Amirulhadi sepatutnya melebarkan jaringan namun bola rembatan deras hanya melepasi palang gol selepas menerima bola umpanan Fazly Mazlan.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Fabio Maciel mula mengatur serangan dan pada minit ke-23 bola rembatan Paulo Heleber dari jarak 30 meter mencemaskan pintu gol Harimau Malaysia namun penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan sempat melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Hazwan terlepas peluang terbaik untuk mencipta jaringan pada minit ke-28 apabila bola lorongan dari Khair dirembat kencang namun Maxanches sudah bersedia menangkap bola kemas.

Bersambung babak kedua, Kim Swee melakukan perubahan di posisi sayap kiri apabila memasukkan Chanthuru dan mengeluarkan Khair untuk menambah sengat di posisi itu dalam usaha menambah jaringan.

Timor Leste tampak begitu agresif untuk memburu gol penyamaan apabila bola sepakan percuma Junior De Souza pada minit ke-54 tepat ke pintu gol, namun Izham lebih tangkas menepis bola keluar.

Namun, Harimau Malaysia bagaikan melenyapkan sisa perjuangan Timor Leste apabila bola sepakan lintang Azrif tepat kepada Hazwan yang menanduk kencang menewaskan Maxanches yang sekadar tergamam melihat bola menerjah jaring.

Pada minit ke-68, giliran Chanthuru mencetak nama selaku penjaring apabila menyudahkan bola sepakan lintang Kunanlan menyaksikan Maxanches tewas buat kali ketiga, sekali gus memastikan Harimau Malaysia menewaskan Timor Leste 3-0 dan mara ke pusingan seterusnya dengan agregat 6-0.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 10:49 AM
 
HAZWAN (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan