Rabu, 8 Jun 2016

'Masa depan Khair cerah'

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 JUN 2016
 Melaka United, Mat Zan Mat Aris
Melaka United, Mat Zan Mat Aris

Khair (kanan) diasak pemain Timor Leste, Diogo Santos Rangel dalam aksi di Larkin, kelmarin.
PENGENDALI Melaka United, Mat Zan Mat Aris percaya pertahanannya, Khair Jones memiliki masa depan cerah bersama Harimau Malaysia.

Khair yang juga boleh beraksi di bahagian sayap kiri meledak gol peribadi pertamanya ketika membantu Malaysia membenam Timor Leste 3-0, pada perlawanan kedua Play-off Kelayakan Piala Asia di Larkin, kelmarin.

Ia  penampilan kedua Khair dalam skuad senior kendalian, Datuk Ong Kim Swee.

"Dia beri tanggapan positif sepanjang tiga bulan bersama Melaka United. Walaupun masih baharu, dia tetap tunjuk kesungguhan sama ada dalam latihan mahupun diturunkan semasa perlawanan liga.

"Khair juga banyak membantu pasukan. Saya tidak terperanjat dia dipanggil menyarung jersi  Harimau Malaysia kerana saya tahu kebolehannya," kata Mat Zan.

Pada debut pertamanya ketika aksi persahabatan menentang Myanmar, pemain kacukan New Zealand itu mencuri tumpuan walaupun sekadar beraksi selama 12 minit selepas menggantikan Fadzley Mazlan yang cedera.

Kata Mat Zan, jika ramai pemain negara mempunyai karakter seperti Khair,  bola sepak Malaysia mampu melangkah lebih jauh.

“Apa pun, perjalanan Khair masih jauh tetapi dia boleh berjaya jika terus menambah baik prestasi permainannya,” katanya.

Sumber-sinar Harian online 8 JUN 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan