ARKIB : 09/01/2007
KUALA LUMPUR Setelah
teka-teki siapa ketua pasukan Malaysia ke Kejohanan AFF terjawab dengan
pengumuman nama Kaironnisam Sahabuddin Hussain di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
kelmarin, formasi atau strategi jurulatih Norizan Bakar kini juga bukan satu
rahsia lagi.
Malaysia bakal menggunakan
4-2-3-1 pada persaingan peringkat Kumpulan A kejohanan di Bangkok, Jumaat ini
iaitu formasi yang menemukan buku dengan ruas, Itali dan Perancis pada
perlawanan akhir Piala Dunia di Berlin, Julai lalu.
Formasi yang cenderung bertahan
ini meletakkan Hairuddin Omar sebagai penyerang tunggal Malaysia sambil Khyril
Muhymeen Zambri mengekorinya rapat selaku pemain tengah menyerang dalam
menghadapi Thailand, Myanmar dan Filipina di sana.
Satu sumber yang enggan
dikenali berkata, memang formasi ini memerlukan penyerang tunggal yang sanggup
bekerja keras dalam memburu gol tetapi gerakan dan mengatur serangan sebenarnya
turut melibatkan ramai lagi pemain.
Satu lagi perubahan drastik
yang diterapkan oleh Norizan ialah mengalih posisi Hardi Jaafar dari tengah ke
sayap kiri sementara rakan sepasukan Khyril dalam skuad Bawah 20 Tahun negara
di Bangalore, Safiq Rahim mendukung peranan di sayap kanan.
Shukor Adan yang mulanya
disebut-sebut antara calon mengetuai pasukan negara kerana pengalamannya
memimpin Selangor sejak 2003, bakal bergandingan dengan ketua pasukan Perlis,
Fauzi Nan di bahagian tengah bertahan.
Pemain Paling Popular dalam
Anugerah Bola Sepak Negara tahun lalu, Syamsuri Mustafa pula terus mendapat
kepercayaan Norizan selaku penjaga gol nombor satu Malaysia dengan dilindungi
empat tulang belakang.
Turun membantu penjaga gol
Terengganu itu ialah Kaironnisam yang bermain dalam Kejohanan AFF ketiganya
(dulu Piala Tiger) sejak 2002 yang berpasangan dengan Norhafiz Zamani Misbah
selain Irwan Fadli Idrus dan V. Thirumurugan di kiri dan kanan mereka.
Mengikut kebiasaannya, formasi
yang turut digemari kebanyakan pasukan Sepanyol ini, cukup anjal bagi
melahirkan kerjasama kuat kedua-dua bahagian sayap tengah dan sisi benteng
terutamanya dalam mengatur serangan balas.
Jika bertahan, formasinya akan
diubah suai kepada 4-5-1 dan kegunaannya adalah untuk mengekalkan penguasaan
bola dan menyekat serangan lawan dari bahagian tengah padang lagi. Ciri-ciri
penyerang tunggalnya ialah tinggi dan mahir mengawal bola serta perlu pantas.
Norizan menggunakan formasi
4-4-2 pada Sukan Asia Doha, bulan lalu yang majoriti anak buahnya ialah pemain
Bawah 23 Tahun tetapi kali ini ia perlu dirombak memandangkan Kejohanan AFF dan
Piala Asia, Julai depan ialah persaingan peringkat senior.
Bagaimanapun, kesemua jaringan
Iraq, China dan Oman sepanjang aksi di Doha, didapati membocori gawang Malaysia
dari bahagian tengah sekali gus mengilhamkan Norizan untuk mengatasi kelemahan
itu dengan sedikit rombakan ke Bangkok.
Agak mengejutkan ialah tiadanya
dua tonggak tetap Norizan, Fadzli Saari dan Ronny Harun sejak Sukan SEA
Filipina 2005 dalam kesebelasan utama Malaysia selain penyerang UPB-MyTeam,
Nizaruddin Yusof yang mungkin masuk sebagai pengganti Safiq dan beralih posisi
dengan Khyril.
Mereka yang bakal turut
memanaskan bangku simpanan terlebih dulu di Bangkok ialah Saramsak Kram, Azizi
Mat Rose, Azi Shahril Azmi, Azizon Kadir, Nasril Nourdin, Chan Wing Hoong, Eddy
Helmi Manan, K. Nanthakumar dan Rezal Zambery Yahya.
Senarai ini bagaimanapun
dijangka berubah lagi dalam persediaan menjelang Piala Asia di Malaysia,
Thailand, Indonesia dan Vietnam apabila tonggak senior seperti Akmal Rizal
Rakhli, Indra Putra Mahyuddin, Safee Sali dan Rosdi Talib pulih daripada
kecederaan
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4sZHkcTF4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan