Sabtu, 9 September 2017

Ibrahim pertahan reputasi B20 -- Skuad muda negara tidak akan dibubarkan biarpun tersungkur di Bangalore



ARKIB : 03/11/2006

Oleh AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR – Skuad Malaysia Bawah 20 Tahun tidak akan dibubarkan meskipun tersingkir di peringkat kumpulan pada Kejohanan Bola Sepak Belia AFC yang sedang berlangsung di Bangalore, India.

Sebaliknya, skuad bimbingan K. Rajagopal itu akan terus dikekalkan untuk meneruskan agenda jangka panjang yang telah diatur oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, pembentukan skuad B20 Malaysia bukan hanya semata-mata menghadapi kejohanan di Bangalore tetapi untuk jangka panjang termasuk bagi temasya Sukan SEA, kelayakan Olimpik dan pusingan akhir Piala Asia tahun depan.

Menurut Dr. Ibrahim, FAM telah menetapkan skuad ini akan terus dikekalkan kerana badan induk itu telah menyediakan pelbagai program jangka panjang.

‘‘Tidak wajar apabila gagal dalam satu-satu kejohanan, pasukan ini dibubarkan. Ini bukan menjadi amalan FAM.

‘‘Kita melihat untuk jangka panjang, skuad ini ada potensi di sebalik kegagalan di Bangalore. Masih banyak tugas akan dipikul oleh barisan pemain B20 selepas ini.

‘‘Malah ada sebahagian besar pemain ini boleh diserapkan ke dalam skuad kebangsaan menghadapi Sukan SEA, pusingan akhir Piala Asia dan kelayakan Olimpik,’’ ujar Ibrahim ketika dihubungi di Bangalore, semalam.

Cabaran skuad didikan Rajagopal untuk layak ke suku akhir berakhir kelmarin selepas tewas 0-2 kepada juara dua kali, Arab Saudi.

Kekalahan itu merupakan yang kedua buat Malaysia selepas tumpas 1-2 kepada Vietnam Isnin lalu, sekali gus menutup peluang untuk ke suku akhir walaupun mempunyai baki satu perlawanan bertemu Iraq, hari ini.

Mengulas lanjut Ibrahim tetap mempertahankan reputasi skuad B20 Malaysia walaupun terpaksa menerima hakikat pasukan ini masih belum bersedia beraksi di peringkat antarabangsa.

Walaupun gagal di Bangalore beliau tetap menyifatkan skuad ini berpotensi untuk diketengahkan pada kejohanan yang lain.

‘‘Secara keseluruhannya kita bermain baik cuma tuah sahaja tidak menyebelahi kita sewaktu berdepan Vietnam dan Arab Saudi.

‘‘Sekembalinya pemain nanti, FAM akan membincangkan dengan terperinci langkah seterusnya bagi mengekalkan mereka untuk tugas yang lain.

Biarpun begitu, reputasi anak didik Rajagopal tidak banyak dapat dibanggakan melihat kepada aksi mereka sewaktu kalah 2-1 kepada Vietnam.

Pasukan yang dicanang bakal mengembalikan maruah skuad kebangsaan itu sebenarnya belum bersedia untuk bersaing di peringkat antarabangsa

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sAvg9iyc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan