Sabtu, 30 September 2017

Malaysia kena ‘reggae’



ARKIB : 29/06/2007
Oleh AMRAN MULUP
Penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar (kanan) diasak oleh pemain Jamaica, Mario Swaby (kiri) pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. Malaysia tewas 2-0.

KUALA LUMPUR – Jika dua tuan rumah pusingan akhir Piala Asia, Indonesia dan Vietnam mudah meratah skuad ‘Reggae Boyz’, Jamaica nasib berbeza menimpa Malaysia yang beraksi seperti ‘sibuta kehilangan tongkat’ sebelum tewas 0-2 dalam perlawanan bola sepak persahabatan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Apa yang mampu diungkapkan ketika melihat ‘budak’ Reggae Jamaica berusia sekitar 21 tahun mendedahkan kelemahan barisan pemain kebangsaan yang tidak mampu mempamerkan corak permainan mantap menjelang saingan sebenar Piala Asia ketika membuka tirai menentang China pada 10 Julai ini.

Serba tidak menjadi itulah aksi sebenar yang dipamerkan oleh kesebelasan utama skuad kebangsaan danmeninggalkan tanda tanya, apakah ini adalah skuad terbaik bakal menjadi sandaran apabila saingan Piala Asia berlangsung 7-29 Julai ini.

Apa lagi alasan jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar untuk meluahkan hasrat yang tersirat dan tersurat ketika saingan sebenar hanya tinggal 12 hari bakal berlangsung.

Biar apa pun hanya Norizan yang lebih arif untuk menentukan arah haluan skuad kebangsaan dengan baki 12 hari sebelum membuka kempen pertama menentang China sebelum disusuli berdepan Uzbekistan dan saingan terakhir dengan Iran.

Kekalahan kedua daripada tiga perlawanan persahabatan yang diatur hanya menang 6-0 ke atas Kemboja sebelum tunduk 3-1 kepada UAE, nyata tidak banyak mampu dibanggakan melihat gandingan silih berganti menjadi ujian Norizan.

Malaysia dalam tiga perlawanan persahabatan lalu ketika berkunjung ke Australia tewas kesemua perlawanan kepada Bankstown FC 0-1, Sydney FC 0-2 dan Central Coast Marinas FC 0-3.

Sebaliknya budak Reggae Jamaica yang dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Bora Milutinovic mencuri perhatian dengan dua jaringan mudah menerusi Christopher Harvey (m-44) dan Wolry Wolfe (m45).

Jamaica yang dibarisi ramai pemain berusia sekitar 21 tahun tewas 1-2 kepada Indonesia dan 0-3 di tangan Vietnam mempamerkan permainan tersusun dengan hantaran-hantaran kemas ketika barisan pemain kebangsaan terkial-kial mencari rentak.

Norizan yang kehilangan khidmat penyerang utama, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, gara-gara kecederaan ketika mewakili Selangor dalam saingan separuh akhir kedua Piala FA menggandingkan Norfarhan Mohamad dan Hairuddin Omar tetapi nyata mereka tumpul apabila berada di depan pintu gol lawan.

Hanya dapat dibanggakan aksi pemain negara pada babak kedua yang mengasak hebat untuk merapatkan jurang tetapi peluang silih berganti di depan pintu gol lawan jelas tidak membawa tuah.

Peluang terbaik mencipta jaringan hadir buat pemain gantian Fadzli Saari pada minit ke-64 tetapi sepakannya melewati palang gol.

Di minit 76 giliran Shahrunizam Mustaffa kecewa walaupun berjaya mengelecek penjaga gol Jamaica, Allien Whittaker tetapi sepakannya sekadar mengenai tiang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uAoy04vn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan