Sabtu, 30 September 2017

Pertemuan Malaysia-Jamaica di Bukit Jalil



ARKIB : 21/06/2007

KUALA LUMPUR – Perbadanan Stadium Merdeka akhirnya berlembut untuk membenarkan skuad kebangsaan dan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) menguji keadaan padang Stadium Nasional, Bukit Jalil menerusi perlawanan persahabatan dengan Jamaica pada 28 Jun ini.

Pengerusi Perbadanan Stadium Merdeka, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Tuanku Syed Putra Jamalullail berkata, kebenaran ini diberi atas permintaan khas terbaru oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan AFC.

“Saya juga mengambil keputusan ini kerana tidak mahu dianggap sebagai penghalang persediaan skuad negara biarpun sebelum ini saya berpegang teguh kepada janji awal untuk menutup stadium sepanjang bulan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurutnya, perbadanan juga tidak menghadapi masalah untuk meneruskan perlawanan tersebut biarpun sekiranya hujan lebat melanda yang mungkin membawa risiko kerosakan padang akibat terjahan dan tekanan keras pemain.

Stadium Nasional merupakan gelanggang utama persaingan Kumpulan C Piala Asia dari 7 hingga 29 Julai melibatkan Malaysia, China, Iran dan Uzbekistan selain suku akhir dan separuh akhir. Hanya perlawanan China-Uzbekistan diadakan di Stadium Shah Alam.

Menurut Syed Razlan, pegawai AFC juga mengemukakan rayuan untuk menguji Stadium Nasional kerana mendapati banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam tugas mereka ketika mengendalikan perlawanan persahabatan Malaysia dengan Kemboja di Shah Alam, Isnin lalu.

“Perbadanan juga bersedia membenarkan skuad negara menjalani latihan di situ selepas menentang Jamaica asalkan mereka mematuhi beberapa syarat sekiranya masih ada kawasan padang yang perlu diperbaiki dan dijaga,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4uA7VgDi9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan