ARKIB : 23/11/2006
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
PETALING JAYA Kemasukan
semula Kaironnisam Sahabuddin Hussain membuktikan hasrat ketua jurulatih
Norizan Bakar untuk menerapkan taktik bertahan kepada skuad bawah 23 tahun
kebangsaan dalam Sukan Asia Doha, bulan depan.
Kaironnisam yang bakal
bergandingan semula dengan Norhafiz Zamani Misbah di bek tengah, begitu ditagih
dalam menghadapi gelora Doha dengan kemunculan China, Oman dan mungkin Iraq
dalam pusingan kedua Kumpulan E.
Kaironnisam atau digelar Botak,
yang diketepikan daripada siri jelajah ke Asia Barat bulan lalu, hanya kembali
dipanggil apabila skuad negara kehilangan penyerang, Rudie Ramli kerana
kecederaan.
China dijangka umpama Ghana
yang mara ke pusingan kedua Piala Dunia, Jun lalu kerana dilatih bekas
jurulatihnya, Ratomir Dujkovic manakala Oman yang menundukkan Malaysia 1-0 di
Busan 2002, dikatakan memiliki beberapa pemain Liga Perdana England.
Iraq walaupun masih dalam
kegawatan politik, mampu mengganas apabila membelasah Indonesia 6-0 dan
menewaskan Singapura 2-0 mendahului Kumpulan B kelayakan, malah dijangka muncul
juara untuk menyertai Malaysia, China dan Oman pada pusingan kedua.
Bermain secara terbuka memang
bukan pilihan utama kita. Benteng Malaysia perlu sentiasa padat dan tidak boleh
terdedah. Yang penting pemain juga tidak boleh mudah tertekan.
Kami yakin mampu mencapai
keputusan yang baik kerana semangat pasukan cukup tinggi dan mereka mahu keluar
ke sana dengan maruah yang perlu dipertahankan, katanya di Wisma FAM, Kelana
Jaya, di sini.
Norizan bagaimanapun menyangkal
taktik berhati-hati atau terlalu memilih jalan selamat di Doha itu akan
menumpulkan keinginan mereka untuk menyerang dan mencari gol jika berpeluang.
Ia tidak bererti kita tidak
mahu menyerang langsung. Kami tetap akan mengintai peluang itu dan saya jamin,
apabila bersaing, semua pemain tidak akan berasa terlalu merendah diri dengan
lawan mereka, katanya.
Menurut Norizan, skuad
bimbingannya bakal mempertaruhkan gandingan Saramsak Kram dan Fadzli Saari
sebagai penyerang utama selepas tonggak harapannya tercedera seperti Safee Sali
dan Akmal Rizal Rakhli selain Rudie.
Sebagai mengatasi kemungkinan
gementar dan tertekan di Doha, skuad negara juga mendapat suntikan khidmat
psikologi secara sukarela daripada Prof. Madya Fakulti Komunikasi dan Pengajian
Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Baharuddin Aziz.
Saya membantu pasukan ini atas
minat dan cintakan bola sepak. Banyak kelab England pun menggunakan khidmat
psikologi termasuk Chelsea.
Mula-mula saya dapati pasukan
ini agak lemah dari segi semangat dan psikologinya tetapi saya cuba pulihkan
menerusi beberapa sesi kaunseling dan permainan ringan yang mungkin remeh bagi
sesetengah orang, tetapi sebenarnya berkesan, ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4sEMTRkUB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan