ARKIB : 11/11/2006
Selangor beri peringatan B23 -
Anak-anak buah Norizan Bakar masih perlu perkemaskan diri
Oleh: A. JAILANI ABDULLAH
SENGIT...aksi getir perlawanan
persahabatan skuad B23 negara menentang Selangor yang berkesudahan seri 1-1 di
Stadium Shah Alam, malam tadi. Skuad B23 akan menjadi sandaran negara ke Sukan
Asia di Doha pada 1-15 Disember ini.
SHAH ALAM Selangor memberi
petunjuk kepada Norizan Bakar bahawa anak-anak buah jurulatih kebangsaan itu
masih perlu memperkemaskan diri sebelum bertandang ke Sukan Asia bulan depan
menerusi perlawanan persahabatan yang berkeputusan seri 1-1 di Stadium Shah
Alam, malam tadi.
Tanggungjawab memperbaiki
kelemahan itu bukan sahaja terletak atas bahu Norizan dan barisan pembantunya
tetapi juga di tangan tiga pemain senior - Mohd. Kaironnisam Shahbuddin Hussin,
Hardi Jaafar (TM Melaka) dan Norhafiz Zamani Misbah (Pahang) yang diserap ke
dalam skuad Bawah 23 Tahun itu.
Begitu juga dengan Mohd. Fadzli
Saari, pemain senior yang masih belum melepasi usia 23 tahun.
Sementara itu, bagi dua pemain
Bawah 20 Tahun, Khyril Muhymeen Zambri dan Safiq Rahim, perlawanan persahabatan
semalam adalah aksi pertama mereka untuk skuad Norizan itu, selepas sebelum ini
terlibat dalam kejohanan Bawah 20 Asia di India yang berakhir minggu lepas.
Bermain atas padang cantik
Stadium Shah Alam tetapi licin akibat hujan renyai dan kemudian lebat pada
babak kedua perlawanan, tahap kecergasan mereka yang paling jelas boleh
dipersoalkan.
Pemain-pemain Selangor juga
agak keras permainan mereka, dan jika aksi kasar ini berulang dalam perlawanan
persahabatan dengan TM Melaka selepas, ini tidak mustahil Norizan akan mendapat
satu lagi masalah iaitu kecederaan pemain pula.
Bermain di depan kira-kira
1,000 penonton, Selangor yang membuat persiapan untuk musim baru Liga Super
jelas menguasai perlawanan babak pertama.
Bagaimanapun, mereka terpaksa
menunggu sehingga 20 minit terakhir untuk mendapat gol menerusi hasil rembatan
Abdul Hadi Yahya dari hujung kawasan gol.
Malaysia bagaimanapun membalas
apabila penyerang Mohd. Fadzli melompat untuk menanduk umpanan lintang pemain
tengah Mohd. Hardi sebelum rehat.
Hadi nyaris meletakkan Selangor
di depan semula sebaik sahaja babak kedua bermula namun rembatan jauhnya kali
ini hanya menggegarkan palang.
Anak-anak buah Norizan kemudian
menampakkan sedikit perubahan dengan menampilkan pergerakan yang lebih kemas
tetapi sering terkandas menuju ke kawasan gol Selangor.
Ini adalah perlawanan
persahabatan kedua skuad negara dalam persiapan ke Sukan Asia yang akan
berlangsung di Doha, Qatar pada 1-15 Disember ini.
Perlawanan pertama dengan skuad
Liga Perdana Kuala Lumpur Rabu lepas juga menghasilkan keputusan yang sama.
Di Doha, Malaysia, yang layak
secara automatik ke pusingan kedua bola sepak Sukan Asia, akan bertemu Oman
pada perlawanan pertama dalam Kumpulan E.
Dua lagi pasukan ialah China
dan pasukan yang mara dari pusingan pertama.
Mengulas mengenai permainan
anak- anak buahnya, Norizan melihat ada peningkatan berbanding ketika bertemu
Kuala Lumpur tetapi kecewa kerana pergerakan mereka sering terkandas.
"Permainan mereka sudah
meningkat, sudah ada kualiti selepas bertemu Kuala Lumpur. Kini mereka sudah
boleh bergerak ke depan tetapi gagal mencari ruang untuk membuat percubaan.
Jadi kami akan berusaha mempertajamkan barisan serangan.
"Perlawanan ini juga
penting kerana saya buat kali pertama dapat menggabungkan pemain Bawah 20
dengan pemain sedia ada," katanya selepas perlawanan.
Latihan fasa akhir ini
menghimpunkan 25 pemain yang akan dikecilkan kepada 20 untuk pertandingan di
Doha kelak.
"Saya belum boleh
memberikan bayangan mengenai senarai akhir nanti. Keputusan muktamad masih
belum dibuat dan saya masih mempunyai kira-kira 20 hari untuk membuat
penelitian lagi," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sCe6GMRR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan