Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD dan
NORZIE KHASBI
KUALA LUMPUR Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) lebih berminat bekerjasama dengan jurulatih-jurulatih
negara dalam mencari penyelesaian daripada mengenakan tindakan ke atas mereka
setiap kali skuad kebangsaan gagal di pentas antarabangsa.
Timbalan Presiden FAM, Datuk
Redzuan Sheikh Ahmad berkata, pihaknya masih meyakini khidmat beberapa
jurulatih tempatan ketika ini sekalipun persembahan skuad senior, Bawah 20 dan
23 Tahun negara kurang membanggakan sepanjang tahun lalu.
Kami telah mengenal pasti
beberapa aspek yang boleh diperbaiki bersama termasuk tentang mengapa
ketiga-tiga pasukan ini masih tidak setanding pasukan lain sekalipun pelbagai
persediaan diatur ke pertandingan sebenar, katanya.
Serentak itu menurut Redzuan,
FAM tidak akan menetapkan kata dua atau sasaran tertentu kepada skuad senior
bimbingan Norizan Bakar yang akan menghadapi Kejohanan Persekutuan Bola Sepak
ASEAN (AFF) di Bangkok mulai Jumaat ini hingga 4 Februari.
Beliau yang juga Pengerusi
Jawatankuasa Teknikal FAM, berkata demikian pada sidang akhbar majlis
Perkongsian Strategik dengan Nike dan pengenalan jersi baru skuad kebangsaan di
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.
Mengenai keluhan pegawai
pasukan Liga Malaysia yang kehilangan ramai pemain tonggak kerana Kejohanan
AFF, Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, mereka yang
berkenaan mungkin tidak diberitahu setiausaha negeri masing-masing biarpun soal
itu pernah dipersetujui bersama.
Dalam seminar di Kuching,
tahun lalu, ia telah dibangkitkan dan dipersetujui semua pegawai pasukan
setelah kami menyarankan sama ada mahu menangguhkan liga demi tugasan
antarabangsa atau sanggup meneruskannya tanpa tonggak negara, katanya.
Jersi baru Nike Fit Dry untuk
skuad Malaysia ini menampilkan tiga jalur menegak di hadapan dengan gambar
keris berada di sudut bawah kirinya dengan dua warna pilihan iaitu kuning
(pertama/tuan rumah) dan biru (kedua/pelawat).
Pengarah Pemasaran Nike Asia
Tenggara, Tim Parkinson, pula berkata, kulit pemakainya kekal kering kerana
kualiti kainnya membolehkan peluh diresap, mengelakkan melekat dengan badan dan
mengekalkan ruang udara antara kulit dan fabrik untuk pernafasan.
Jersi ini direka khusus untuk
memberi penghormatan kepada era kegemilangan bola sepak negara, mengambil
inspirasi jersi asal pasukan 1958 yang memenangi Pestabola Merdeka,
memartabatkan seni dan budaya tempatan serta melambangkan warna kuning dan
hitam haiwan kebangsaan, harimau, katanya.
Jersi baru ini akan mula
dipakai oleh skuad bimbingan Norizan pada Kejohanan AFF di mana Malaysia
menganggotai Kumpulan A dengan Thailand, Myanmar dan Filipina sebelum
diteruskan oleh skuad Bawah 21 Tahun pada Kelayakan Olimpik, bulan depan.
Penyampaian jersi itu turut
memperkenalkan kesebelasan utama Malaysia iaitu Syamsuri Mustafa, Kaironnisam
Sahabuddin Hussain (kapten), Norhafiz Zamani Misbah, V. Thirumurugan, Irwan
Fadli Idrus, Shukor Adan, Fauzi Nan, Safiq Rahim, Hardi Jaafar, Khyril Muhymeen
Zambri dan Hairuddin Omar.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4sZC7w1mN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan