ARKIB : 20/04/2007
PETALING JAYA Menyedari
peluang mengintai tempat ke pusingan akhir Kumpulan B bola sepak Kelayakan
Olimpik semakin tipis, jurulatih Malaysia, B. Sathianathan mengubah sasaran
persediaan pasukan negara ke Sukan SEA Korat, Disember ini pula.
Selepas dikejutkan Hong Kong
1-0, kelmarin, anak buahnya bagaikan memikul tugas hampir mustahil untuk
mengutip enam mata maksimum dalam baki dua perlawanan iaitu perlu mengalahkan
Syria (16 Mei) dan Jepun (6 Jun) sekali gus muncul naib juara kumpulan.
Jika menang kedua-duanya,
Malaysia masih perlu berharap Syria dan Hong Kong tidak mampu mencapai mata
yang meyakinkan sekali gus menyambar tiket kedua ke pusingan akhir, kemungkinan
menerusi perbezaan gol.
Pengalaman di sini (Kelayakan
Olimpik) masih bagus untuk persediaan kita ke Sukan SEA. Walau apa pun
alasannya (kalah kepada Hong Kong dengan jaringan awal Yip Chi Ho), saya rela
memikul tanggungjawab atas keputusan itu, katanya.
Sathianathan menyenaraikan
sikap panik anak buahnya selepas jaringan, taktik bertahan habis-habisan lawan
dan ketiadaan dua tulang belakang - Ahmad Azlan Zainal dan S. Subramaniam
sebagai faktor kekalahan kelmarin.
Namun saya masih menetapkan
sasaran pingat emas di Korat dan kita ada tujuh bulan untuk membentuk pasukan
dengan menggandingkan mereka dan beberapa pemain senior (berusia 23 tahun),
katanya di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.
Menurut Sathianathan, ada
beberapa pemain skuadnya sekarang yang bakal digantikan dengan tonggak senior
seperti Safee Sali, Norfarhan Muhamad, Azlan Ismail dan Ronny Harun yang tidak
layak ke Olimpik tetapi masih boleh ke Sukan SEA.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tXlcTiYx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan