ARKIB : 17/06/2007
KUALA LUMPUR Sebanyak 23
pemain terbaik yang akan mendukung cabaran negara ke bola sepak Piala Asia akan
ditentukan hari ini selepas persediaan diatur sejak Disember tahun lalu.
Daripada 30 pelatih yang
mengikuti kem latihan skuad negara pada masa ini, sebanyak tujuh pemain
diketepikan sebagai simpanan.
Kesebelasan utama dijangka
berlegar di kalangan Azizon Kadir, Fauzie Nan, Khaironnisam Sahabuddin Hussain,
Norhafiz Zamani Misbah, V. Thirumurugan, Shukor Adan, Hardi Jaafar, Indra Putra
Mahyuddin, Hairuddin Omar, Safee Sali dan Akmal Rizal Rakhli.
Inilah barisan yang dianggap
cukup seimbang pada kesemua bahagian biarpun skuad negara dan peminat pasti
merindui penjaga gol nombor satunya, Syamsuri Mustafa yang digantung tiga bulan
sejak Mei lalu oleh Terengganu.
Khaironnisam semakin pasti
mendapat kepercayaan Norizan untuk menerajui pasukan kebangsaan berdepan Iran,
China dan Uzbekistan yang mara ke suku akhir lalu dalam Kumpulan C.
Tulang belakang UPB-MyTeam itu
telah memikul tugas kapten sejak mengambil alih peranan tersebut daripada Rosdi
Talib dalam perlawanan persahabatan dengan Singapura tahun lalu.
Apa pun, sebarang kecederaan
menjelang Piala Asia yang berbaki tiga minggu ini bakal menyisihkan sesiapa
sahaja, malah tahap prestasi sepanjang kunjungan ke Australia, bulan lalu dan
di Pulau Pinang turut menjadi ukuran.
Rosdi, pelatih senior berkata,
dia sudah memberikan segala-galanya untuk merebut posisi bek kiri kegemarannya sekalipun
menyedari persaingan hebat daripada tonggak Perlis, Fauzie dan kapten skuad
Olimpik, S. Subramaniam.
Semangat dan komitmen semua
pelatih cukup tinggi tetapi akhirnya terpulang kepada jurulatih untuk memilih
siapa terbaik, kata bek kiri Pahang yang mewakili negara sejak 2000 kepada
pemberita, semalam.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4u9QlmVyR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan