Sabtu, 16 September 2017

Malaysia diramal menang



ARKIB : 26/01/2007
Oleh: SHARIZA ABDULLAH dan WAN RAMLI WAN MUHAMAD

KUALA LUMPUR – Skuad negara mampu menjinakkan Singapura sekalipun terpaksa berdepan sorakan padu penyokong tuan rumah pada perlawanan separuh akhir kedua Kejohanan Bola Sepak ASEAN di Stadium Nasional, Singapura, esok.

Sokongan ini disuarakan oleh jurulatih dan pengurus negeri yang membuat ramalan itu berdasarkan persembahan mantap skuad negara ketika menentang lawan yang sama pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, Selasa lalu.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada pertemuan itu.

Ketua jurulatih bola sepak Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah meramalkan skuad kebangsaan mampu menjinakkan Singapura.

Menurut Mohd. Azraai, dia membuat ramalan tersebut berdasarkan persembahan meyakinkan anak buah Norizan Bakar yang dilihat menguasai sebahagian besar permainan pada pertemuan separuh akhir pertama Selasa lalu.

Mengikut pengamatannya, kata beliau, skuad Singapura bukanlah satu pasukan yang ‘liat’ untuk ditewaskan oleh pasukan negara.

Malah, katanya, ketiadaan ketua pasukan Singapura, Aide Iskandar yang dilayangkan kad merah sedikit sebanyak merencatkan kekuatan pasukan tersebut.

‘‘Bermain di gelanggang lawan bukanlah satu masalah dan tiada pasukan sebenarnya mempunyai kelebihan pada pertemuan itu nanti kerana semuanya ibarat bermula 0-0.

‘‘Namun jika pasukan negara mampu mempamerkan corak permainan seperti yang ditunjukkan Selasa lalu, saya meramalkan Malaysia boleh memenangi perlawanan kedua nanti dengan satu gol,” katanya di Kedah, semalam.

Justeru, katanya, pasukan kebangsaan perlu turun dengan semangat dan keyakinan yang tinggi serta bersikap positif supaya hasrat ke perlawanan akhir terlaksana.

Sementara itu, di Terengganu, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, teriakan Kallang tidak mungkin dapat mematahkan semangat skuad negara di bawah kendalian Norizan Bakar kerana perjuangan tetap diteruskan walaupun bakal menemui pelbagai halangan.

Katanya, skuad negara tentunya mempunyai semangat juang yang tidak mungkin dapat dipatahkan dengan hanya teriakan penonton.

‘‘Di mana gelanggang tak penting kerana yang pasti berbekalkan semangat waja segala halangan pasti dapat dipatahkan dengan mudah,” katanya.

Che Mat berkata, berdasarkan pengalaman lalu skuad negara tidak mungkin kecundang kerana barisan yang ada sebenarnya adalah sebuah pasukan yang benar-benar kuat dan mantap.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4spOZX2Wb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan