Jumaat, 29 September 2017

Kem Sydney berakhir kecundang



ARKIB : 29/05/2007

KUALA LUMPUR – Malaysia menamatkan siri kunjungan ke Sydney, Australia sebagai persediaan menghadapi pusingan akhir bola sepak Piala Asia sejak 7 Mei lalu dengan kekalahan ketiganya, kepada Bankstown FC 0-1 pada perlawanan persahabatan, kelmarin.

Skuad senior bimbingan Norizan Bakar juga mengakhirinya tanpa mampu menyumbat walau satu jaringan pun selepas turut tumpas kepada kelab Liga Juara-Juara Asia dan bekas juara Australia, Sydney FC 0-2 dan Central Coast Marinas FC 0-3 pada 16 dan 22 Mei lalu.

Sebelum ini, selain Sydney FC, rancangan Malaysia ialah menentang Pilihan New South Wales dan skuad Olimpik Bawah 23 Tahun Australia (Olyroos).

Kembalinya penyerang, Akmal Rizal Rakhli dan Safee Sali ke pangkuan skuad negara selepas pulih daripada kecederaan Mac lalu, ternyata belum dapat mengubati masalah ketumpulan penyudah ketika persaingan Kumpulan C Piala Asia cuma berbaki sebulan lebih lagi.

Malaysia - tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam, menganggotai Kumpulan C dengan peserta Piala Dunia 2006, Iran; naib juara Piala Asia 2004, China dan serpihan Soviet Union - Uzbekistan yang mara ke suku akhir kejohanan ini tiga tahun lalu.

Kelmarin, Norizan menurunkan perantara harapannya, Hardi Jaafar buat kali pertama sejak tiba di Sydney dengan kecederaan hamstring sekali gus membuka banyak laluan dan umpanan bagi gandingan depan Selangor, Akmal dan Fadzli Saari.

Skuad negara kembali hari ini sebelum menyambung kem latihan pusat di Pulau Pinang dari 7 hingga 15 Jun ini. Mereka akan kembali ke Kuala Lumpur menjelang aksi sulung Piala Asia - menentang China di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 10 Julai ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4u7kQq7PQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan