Sabtu, 30 September 2017

UAE bukan lawan kita


ARKIB : 22/06/2007
Oleh AMRAN MULUP
 
TONGGAK Malaysia, Mohd. Ivan Yusof (kanan) berjaya merampas bola daripada pemain lawan pada aksi persahabatan di Kelana Jaya, semalam.

PETALING JAYA – Reputasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) selaku juara Piala Teluk, Januari lalu nyata sukar digugat oleh skuad Malaysia yang tunduk 1-3 pada perlawanan persahabatan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, semalam.

Kekalahan tersebut selepas bergembira membelasah Kemboja 6-0 di Stadium Shah Alam Selasa lepas, terus menimbulkan tanda tanya kemampuan sebenar skuad kebangsaan bersaing dalam Kumpulan C pusingan akhir Piala Asia bulan depan.

Jika pertemuan dengan UAE menjadi ukuran, pastinya ramai yang beranggapan peluang skuad kebangsaan untuk mencari kemenangan berdepan China, Uzbekistan dan Iran bakal merintis liku-liku sukar.

Malah, sukar untuk meramalkan keupayaan anak didik jurulatih Norizan Bakar untuk melakukan kejutan apabila membuka kempen pertama berdepan China pada 10 Julai ini.

Tidak banyak yang dapat dibanggakan dengan aksi kesebelasan utama yang diturunkan oleh Norizan, yang tenggelam dengan corak permainan kemas UAE.

Sebaliknya, UAE yang pernah muncul naib juara Piala Asia 1996 dan juga pernah layak ke Piala Dunia 1990 di Itali tidak menghadapi tugas rumit untuk mengekang setiap gerakan yang diatur anak didik jurulatih Norizan Bakar.

Skuad UAE yang dibimbing jurulatih kelahiran Perancis, Bruno Metsu akan beraksi dalam Kumpulan B Piala Asia bersama Jepun, Qatar dan tuan rumah, Vietnam mencipta jaringan menerusi Faisal Khalil (m-8), Ismail Muttar (m-52) dan Mohamed Al Sihi (m-67).

Hanya jaringan tunggal Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada masa kecederaan perlawanan hendak ditamatkan selepas mendapat hantaran cantik pemain gantian Eddy Helmi Manan sedikit mengubat kekecewaan.

Kelibat pemain negara hanya dapat dibanggakan pada babak pertama apabila mampu mengimbangi corak permainan pantas UAE tetapi pada babak kedua terus hilang punca.

Situasi itu membolehkan UAE kerap kali mengasak ke benteng pertahanan yang dikemudi oleh Mohd. Khaironnisam, K. Nanthakumar, Rosdi Talib dan V. Thirumurugan.

Pada babak kedua kelibat penjaga gol UAE, Majed Naser jelas tidak teruji kerana setiap gerakan yang diatur oleh anak didik Norizan Bakar yang meletakkan hanya Hairuddin Omar selaku penyerang tunggal mudah dipatahkan sebelum masuk ke kawasan kotak penalti lawan.

Akmal Rizal yang diletakkan sebagai penyerang di belakang Hairuddin di bantu oleh Mohd. Norfarhan Mohamad berdasarkan formasi 1-2-3-4 nyata tidak menggugat UAE sepanjang babak berlangsung.

Bahagian tengah yang membariskan Muhammad Shukor Adan, Ivan Yusof, Norhafiz Zamani Misbah dan Shahrunizam Mustaffa tidak banyak mengatur gerakan yang mencemaskan lawan apabila mudah disekat benteng pertahanan UAE.

Situasi itu membolehkan UAE mengawal permainan dengan gerakan-gerakan silih berganti mengancam kubu skuad kebangsaan.

Hanya dua percubaan yang boleh dibanggakan adalah pada minit ke-27 menerusi sepakan kencang Muhammad Shukor Adan dari luar kotak penalti sekadar tepat ke dakapan penjaga gol UAE, Majed Naser.

Tiga minit selepas itu giliran Hairuddin pula hampa apabila tandukannya tersasar keluar beberapa inci dari tiang gol lawan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uACX1JyH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan