ARKIB : 12/05/2007
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR Skuad Olimpik
negara masih mampu menewaskan skuad Olimpik Oman 1-0 pada perlawanan bola sepak
persahabatan, kelmarin menjelang kempen Kelayakan Olimpik Kumpulan B, minggu
depan biarpun cuma berbekalkan khidmat 13 pemain.
Anak buah B. Sathianathan
mencapai kemenangan di Stadium Petaling Jaya kelmarin dengan jaringan tunggal
Zaquan Adha Abdul Razak sekali gus memulihkan semangat dan keyakinan mereka
sejak dikejutkan 1-0 oleh Hong Kong, bulan lalu.
Mereka hanya memiliki
kesebelasan pemain yang cukup-cukup untuk diturunkan tetapi dengan cuma seorang
penjaga gol yang menanti di bangku simpanan kerana terpaksa melepaskan ramai
pemain kembali ke pangkuan pasukan sepanjang Liga Malaysia.
Skuad Olimpik tetap menguasai
permainan sekalipun kesemua pemain perlu berhati-hati kerana khuatir dengan kecederaan
dan tidak dapat meneruskan aksi memandangkan hanya dua penjaga gol, Syed Adney
Syed Hussein dan Farizal Marizal yang boleh bertukar.
Saya cuma gilirkan Farizal
dengan Syed Adney dalam setiap separuh masa permainan tetapi ramai tonggak
seperti Syamsol Sabtu, Aidil Zafuan Abdul Razak, Khyril Muhymeen Zambri dan
Samransak Kram terikat dengan pasukan Liga M dan Piala AFC.
Saya memberikan peluang
pasukan berkenaan menggunakan khidmat mereka semula setelah kehilangan ramai
tonggak kepada skuad kebangsaan yang ke Sydney. Lagipun jadual perlawanan
begitu rapat dengan persahabatan ini, mereka juga perlukan rehat, katanya.
Malaysia akan menentang Syria,
pasukan di tangga kedua Kumpulan B dalam misi menghidupkan peluang ke pusingan
akhir yang semakin samar selepas kalah tiga perlawanan termasuk dengan Hong
Kong di Petaling Jaya, 18 April lalu.
Skuad bawah 22 tahun negara ini
mesti menang di Petaling Jaya, 16 Mei ini dan kempen terakhir menentang Jepun,
bulan depan sambil berharap keputusan pasukan lain termasuk Hong Kong
menyebelahinya untuk layak sebagai pasukan kedua ke pusingan akhir.
Pada 28 Februari lalu, Malaysia
kalah 3-1 kepada Syria di Damsyik, dibenam 2-1 oleh Jepun di Petaling Jaya pada
14 Mac tetapi sempat menewaskan Hong Kong 1-0 di tempat lawan pada 28 Mac.
Penjaring gol Malaysia ialah Azril Hamid, Khyril Muhymeen Zambri dan Amirul
Hadi Zainal.
Kami mesti menang dalam baki
perlawanan itu bukan sahaja untuk cuba layak bahkan mengelak tempat tercorot
dan mempamerkan mutu permainan yang tinggi, kata Sathianathan yang turut
ditugaskan menerajui skuad Sukan SEA Korat, Disember ini.
Katanya, skuad Olimpik Malaysia
akan menentang sebuah kelab Selangor yang bukan daripada Liga Super mahupun
Perdana dalam satu lagi perlawanan persahabatan di Wisma FAM, Kelana Jaya, esok
sebagai pemanas badan menjelang menentang Syria.
Skuad Olimpik Malaysia: Daudsu
Jamaludin, Jazarin Jamaluddin, Sabre Mat Abu, Samransak Kram, Khyril Muhymeen
Zambri, Ahmed Ezrie Shafizie Sazali, Farderin Kadir, K. Linggam, Aidil Zafuan
Abdul Razak, Syamsol Sabtu, Norshahrul Idlan Talaha, Tengku Qayyum Ubaidillah
Ahmad, Zaquan Adha Abdul Razak, Azamuddin Akil, Farizal Marlias, Ahmad Azlan
Zainal, S. Subramaniam, Nasril Nourdin, Azril Hamid, Shakir Shaari, Azi Shahril
Azmi, Azrul Ahmad, Safiq Rahim, Amirul Hadi Zainal, Syed Adney Syed Hussein.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4u3QcrCEi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan