Sabtu, 30 September 2017

Segera perbaiki kelemahan



 
ARKIB : 30/06/2007

Oleh: AIZAWATI AHMAD
TIMBALAN Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sempat beramah mesra dengan bekas pemain kebangsaan, Namat Abdullah pada perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan Pilihan Mahkota United dan pasukan Pilihan Adun Sungai Lembing sempena perlawanan akhir bola sepak bawah 12 Tahun Piala Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah di Sungai Lembing, semalam.

KUANTAN – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan pasukan kebangsaan agar segera memperbaiki kelemahan yang masih ada dan bukan masanya untuk mereka terkial-kial menguji kombinasi pemain.

Teguran itu disuarakan oleh beliau selepas menyaksikan sendiri pasukan kebangsaan yang terkulai layu di kaki para pemain Jamaica setelah tumpas 0-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin dalam perlawanan persahabatan terakhir sebelum Malaysia memulakan kempen pada pusingan akhir Piala Asia menentang China, 10 Julai ini.

Beliau berkata, masih ada ruang untuk pasukan kebangsaan memperbaiki corak permainan yang longgar dan jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar perlu segera mencari rencah terbaik bagi mengukuhkan pasukan.

‘‘Saya rasa mereka (pasukan kebangsaan) masih memerlukan sekurang-kurangnya dua atau tiga lagi perlawanan persahabatan agar persembahan lebih mantap khususnya di posisi pertahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Yang Mulia Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah di sini semalam.

Sempena kejohanan itu, satu perlawanan persahabatan antara pasukan Pilihan Mahkota United menentang pasukan Pilihan Adun Sungai Lembing turut diadakan.

Pasukan Mahkota United turut dibarisi bekas pemain kebangsaan yang pernah menyinar di zaman 1970 dan 80an antaranya Datuk Soh Chin Aun, Isa Bakar, Ahmad Yusof, Yunus Alif, Abdah Alif, Namat Abdullah, Isa Bakar dan Tajuddin Nor.

Mengulas lanjut persiapan pasukan kebangsaan, Tengku Abdullah berkata, para pemain tidak boleh berasa rendah diri apabila beraksi menentang pasukan yang lebih kuat dalam Piala Asia kerana apa yang lebih penting ialah mempamerkan mutu permainan yang berkualiti.

Jelas beliau lagi, pasukan kebangsaan juga tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Akmal Rizal Ahmad Rakhli semata-mata walaupun menyedari kehadiran pemain tersebut berupaya mengukuhkan lagi pasukan.

Bercakap mengenai perlawanan Malaysia menentang Jamaica, Tengku Abdullah memberitahu, barisan pemain kebangsaan jelas tidak menunjukkan mutu permainan yang berkualiti malah strategi mereka dengan menghantar bola tinggi ternyata memakan diri.

‘‘Para pemain Jamaica memiliki susuk fizikal yang tinggi, apa yang saya lihat dalam perlawanan tersebut para pemain kita banyak menghantar bola tinggi khususnya pada separuh masa pertama,” tegasnya.

Katanya lagi, jurulatih perlu berhati-hati menyusun strategi dalam setiap perlawanan agar tidak tersalah percaturan yang akhirnya akan menyebabkan Malaysia kecundang

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4uAzYEIGc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan