ARKIB : 13/01/2007
TONGGAK serangan Malaysia,
Mohd. Nizarudin Yusof (kiri) melonjak kegembiraan selepas menjaringkan gol
pasukan negara pada perlawanan pembukaan Piala AFF menentang Filipina di
Bangkok, semalam. Malaysia menang 4-0. AFP.
BANGKOK Malaysia memulakan
kempen Kejohanan Bola Sepak ASEAN merebut Piala AFF dengan penuh bersemangat
apabila mengatasi Filipina 4-0 pada perlawanaan pembuka tirai Kumpulan A di
Stadium Supachalasai di sini, semalam.
Dua jaringan pantas oleh
penyerang veteran Hairuddin Omar, jaringan sepakan ala bicycle kick Mohd.
Nizarudin Yusof serta gol sendiri oleh Anton Del Rosario sudah cukup
meningkatkan keyakinan Malaysia sebelum menentang Myanmar dan tuan rumah
Thailand selepas ini.
Skuad bimbingan Norizan Bakar,
yang diberi harapan kecil untuk mengharungi saingan peringkat awal oleh peminat
dan media selepas kekecewaan di Sukan Asia Doha bulan lalu, memulakan
persembahan dengan memberangsangkan.
Selepas menewaskan Filipina 4-1
pada Sukan SEA 2005 di Manila, Malaysia menunjukkan kebangkitan dan hanya
memerlukan tujuh minit untuk membuka jaringan dengan kombinasi Hairuddin dan
Nizarudin sentiasa menjadi duri kepada benteng pertahanan Flipina.
Filipina, yang membariskan
pemain muda, menerima tamparan apabila ketua pasukannya Alexander Charles Luis
diusung keluar padang selepas cedera ketika cuba menghalang Nizarudin dari
melakukan hantaran silang.
Nizarudin, yang dipanggil
semula menyarung jersi negara selepas beberapa tahun, membuat hantaran silang
bagi Hairuddin membuat tandukan untuk gol pembukaan pada minit ketujuh.
Lapan minit kemudian, tandukan
Mohd Kyril Nuhymeen terkena palang tetapi Nizarudin memanfaat bola lantunan itu
dengan percubaan ala bicycle kick untuk gol kedua.
Bagaimanapun, sebaik sahaja
babak kedua bermula, Hairudin berjaya menggegarkan jaring tetapi pengadil Abbas
Daud dari Singapura tidak membenarkan jaringan tersebut selepas pemain Malaysia
itu mengasari pemain lawan.
Selepas itu, Malaysia
memperlahankan rentak permainan dan jaringan bertambah apabila pemain
Filipinan, Rosario melakukan kesilapan sehingga membolos gawang sendiri pada
minit ke-71.
Tujuh minit kemudian, Hairuddin
menghasilkan gol peribadi keduanya dengan larian solo selepas melepasi Louie
Michael Roble Casas.
Jurulatih kebangsaan, Norizan
berkata, pujian harus diberikan kepada anak buahnya kerana menunjukkan
permainan mantap kerana bukan mudah untuk menang perlawanan pembukaan.
Bersyukur kepada Tuhan. Sukar
untuk menang perlawanan pertama. Pada hakikatnya kami agak goyang pada 15 minit
pertama perlawanan tetapi jaringan awal membangkitkan semangat pemain, ujarnya
sejurus tamat perlawanan tersebut.
Katanya, kemenangan itu sudah
tentu menaikkan semangat juang pemain apabila menentang juara Piala Merdeka,
Myanmar, petang esok.
Sementara itu, dalam perlawanan
kedua, tuan rumah Thailand seri 1-1 dengan Myanmar.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sjVwPCHD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan