Jumaat, 29 September 2017

Skuad Norizan tewas lagi



ARKIB : 24/05/2007

KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak kebangsaan yang dalam persiapan rapi menghadapi pusingan akhir Piala Asia Julai ini, mengalami kekalahan kedua dalam siri perlawanan persahabatan di Australia apabila tunduk 3-0 kepada Central Coast Marina FC, kelmarin.

Sebelum ini skuad bimbingan jurulatih Norizan Bakar mengalami kekalahan pertama apabila tewas 2-0 ketika berdepan Sydney FC dalam perlawanan persahabatan pertama minggu lalu.

Pada babak pertama kesebelasan utama Norizan berjaya mengekang Central Coast Marina FC 0-0 dalam keadaan cuaca sejuk selain di hadiri kira-kira 3,000 penonton menyaksikan perlawanan tersebut.

Norizan yang meletakkan penyerang Selangor, Akmal Rizal Rakhli buat pertama kali sejak tiba di Australia minggu lalu, mempamerkan aksi cemerlang apabila mencemaskan benteng lawan seawal minit pertama.

Pada minit ke-10, Malaysia terus memberi tekanan kepada lawan dengan larian Mohd. Ivan Yusoff dari sebelah kanan membuat hantarak ke arah Mohd. Safee Sali yang melambung cantik kepada Akmal Rizal yang meledakkan sepakan tetapi diselamatkan penjaga gol, Matthew Trott.

Begitupun barisan serangan Marina FC cuba mencari gol awal namun mudah disekat oleh benteng pertahanan skuad kebangsaan yang diketuai oleh Muhammad Khaironnisam Shahabuddin.

Pada babak kedua, Norizan membuat beberapa pertukaran apabila membawa masuk Fauzie Nan, Eddy Helmi Manan dan Norhafiz Zamani Misbah bagi menggantikan Mohd Hamzani Omar, Fauzi Shaari serta Shahrulnizam Mustapa.

Pertukaran itu membawa padah apabila Marina FC mengambil kesempatan mendahului Malaysia menerusi jaringan Tony Vidmar pada minit ke-57 selepas menyempurnakan hantaran John Hutchison.

Gol awal itu memberi keyakinan kepada Marina FC yang terus menggandakan asakan walaupun beberapa percubaan mereka berjaya diselamatkan oleh Azizon Kadir.

Bagaimanapun, pada minit ke-76 tuan rumah berjaya memperoleh gol kedua.

Gol berpunca apabila Azizon gagal mengeluarkan bola dengan selamat hasil hantaran Matt Simon dan bola jatuh tepat kepada Jamie Lobb yang mudah menolak masuk.

Lima minit sebelum tamat, perangkap ofsaid yang tidak menjadi membawa padah apabila Ty Owens meledakkan jaringan ketiga buat Marina FC.

Perlawanan terakhir skuad kebangsaan adalah menentang Bankstown FC, Ahad ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4u7T39hZU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan