Sabtu, 23 September 2017

Piala Juara-Juara Remaja Dunia, Malaysia bertemu Chelsea



ARKIB : 19/04/2007
 
AZALINA Othman Said (empat dari kiri) pada majlis undian Piala Juara-Juara Remaja Dunia di Kuala Lumpur, semalam. Turut menyerikan majlis itu ialah model-model yang memperagakan jersi kelab-kelab dunia yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

KUALA LUMPUR – Skuad bawah 19 tahun kebangsaan bakal memulakan kempen Piala Juara-Juara Remaja Dunia dengan menentang Chelsea di Kuching pada 8 Ogos ini.

Pada majlis undian yang dilakukan di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam, turut berada dalam Kumpulan D bersama Malaysia dan Chelsea adalah pasukan remaja Bayern Munich dan PSV Eindhoven.

Ini bermakna peluang Malaysia yang bakal dibimbing bekas jurulatih Kedah, Robert Albert untuk layak ke suku akhir dilihat agak sukar.

Namun, peluang bermain dengan pemain-pemain pelapis kelab terkemuka dunia itu sudah cukup menguja Albert untuk menyediakan barisan terbaik pada kejohanan yang julung-julung kali diadakan di Malaysia itu.

“Kita akan cuba sebaik mungkin untuk menyaingi pasukan remaja Chelsea, Bayern Munich dan PSV Eindhoven kerana ia baik dalam membangunkan sukan bola sepak di Malaysia.

“Saya percaya peluang ini akan digunakan pemain Malaysia untuk memberikan persembahan terbaik mereka nanti,” katanya selepas majlis undian.

Turut hadir menyaksikan majlis undian itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said dan Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.

Piala Juara-Juara Remaja Dunia yang akan berlangsung dari 8-19 Ogos dianjurkan menerusi kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan sebuah syarikat dari United Kingdom, Gifted Group Limited.

Kejohanan selama dua minggu itu disertai 16 pasukan dengan 14 daripadanya adalah skuad remaja bawah 19 tahun kelab terkemuka dunia.

Kelab dari Eropah adalah Chelsea, Manchester United, Arsenal (England), Juventus, Inter Milan, AC Milan (Itali), Barcelona (Sepanyol), Ajax Amsterdam, PSV Eindhooven (Belanda), Paris St. Germain (Perancis), Bayern Munich (Jerman) dan Porto (Portugal).

Sementara kelab daripada Amerika Selatan adalah Flamengo (Brazil) dan Boca Juniors. Melengkapkan senarai 16 pasukan adalah skuad kebangsaan Malaysia dan Qatar.

Selain dianjurkan sempena Tahun Melawat Malaysia dan sambutan kemerdekaan ke-50 negara, ia turut memberi faedah besar kepada pembangunan bola sepak negara.

Sebagai balasan kepada sokongan KBS, Gifted Group bersetuju membantu Malaysia memberi pendedahan kepada pemain-pemain remaja negara ini di kelab-kelab terkemuka Liga Perdana England.

Pengerusi Gifted Group, Jonathan Price berkata, buat permulaan, pihaknya dijangka menguruskan pemergian skuad bawah 15 dan 16 tahun negara berlatih bersama skuad remaja Arsenal sama ada Mei atau Jun ini.

“Kami juga sedang berunding dengan kementerian dan FAM untuk menghantar skuad bawah 18 tahun Malaysia berlatih di Eropah,” ujarnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tWiboPdI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan