ARKIB : 10/06/2007
PULAU PINANG - Skuad bola sepak
senior bimbingan Norizan Bakar (gambar) meneruskan latihan fasa terakhir di
Pulau Pinang bagi mencari kombinasi terbaik dan persefahaman jitu antara pemain
selepas menamatkan siri kunjungan ke Sydney, Australia baru-baru ini.
Barisan bimbingan Norizan
mengakhiri kesemua perlawanan ujian tanpa mampu menyumbat walau satu jaringan
pun selepas tewas kepada kelab Liga Juara-Juara Asia dan bekas juara Australia,
Sydney FC 0-2 dan Central Coast Marinas FC 0-3 dan Bankstown FC 0-1.
Norizan berkata, latihan di
Australia lebih mementingkan kepada kecergasan pemain dan tiga perlawanan ujian
itu anak didiknya telah membuktikan mereka berjaya melepasi tahap yang
diperlukan untuk sesuatu perlawanan kompetitif.
Walaupun terdapat beberapa
pemain yang dilanda kecederaan, itu langsung tidak membimbangkan jurulatih
kebangsaan kerana percaya mereka mampu sembuh menjelang pusingan akhir Piala
Asia yang akan bermula 10 Julai ini.
Menurut Norizan, latihan yang
diadakan di luar Kuala Lumpur bertujuan bagi memberi ketenangan jauh dari
suasana hiruk-pikuk dan tekanan selain mengeratkan lagi hubungan antara pemain
dan pegawai pasukan.
Kita mahukan suasana harmoni
di dalam pasukan selain sasaran utama adalah untuk mencari dan membentuk
kombinasi terbaik serta persefahaman antara pemain yang akan dipilih nanti,
katanya selepas tamat sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Bandaraya di
sini semalam.
Malaysia - tuan rumah bersama
Indonesia, Thailand dan Vietnam, menganggotai Kumpulan C bersama-sama pasukan
yang mara ke Piala Dunia 2006, Iran; naib juara Piala Asia 2004, China dan
Uzbekistan yang mara ke suku akhir kejohanan ini tiga tahun lalu.
Latihan di Pulau Pinang bermula
7 hingga 15 Jun ini adalah kesinambungan dari sesi latihan di Australia dan
akan kembali ke Kuala Lumpur bagi menghadapi beberapa perlawanan ujian yang
telah diatur sebelum aksi sulung Piala Asia - menentang China di Stadium Nasional,
Bukit Jalil, 10 Julai ini.
Menurut Norizan, beliau masih
menunggu beberapa pemain dari skuad Olimpik untuk turut serta di dalam sesi
latihan kali ini dan dari situ beliau mampu untuk menilai prestasi terbaik yang
akan dipilih bagi menganggotai skuad kebangsaan.
Dalam latihan itu juga, Norizan
dilihat banyak kali mencuba ketajaman penyerang Akmal Rizal Rakhli serta Safee
Sali dan beberapa pemain yang baru dipanggil seperti Indra Putra Mahyuddin dan
lain-lain.
Selain itu beberapa pemain lain
seperti Hairudin Omar dilihat masih menjalani proses pemulihan di tepi padang
selepas cedera ketika aksi ujian di Australia dan kecederaannya masih tidak
membimbangkan Norizan.
Sesi latihan skuad kebangsaan
di Pulau Pinang akan berlangsung di dalam dua sesi pagi dan malam selain para
peain akan menjalani latihan ringan di pantai Batu Ferringhi pada sesi latihan
pagi.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4u8lFsiYl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan