ARKIB : 23/01/2007
Oleh AMRAN MULUP
PEMAIN-pemain negara tekun
menjalani latihan melakukan set piece menjaringkan gol di Stadium Shah Alam,
semalam dengan Hairuddin Omar (kiri) dan Nizaruddin Yusof (dua dari kiri)
dilihat menjadi tumpuan untuk membolosi kubu Singapura apabila kedua-dua
pasukan bertemu pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF, hari ini.
Gambar NASIRUDDIN YAZID.
PETALING JAYA Kelebihan
bermain di tempat sendiri dengan sokongan moral peminat bakal menyuntik
kekuatan skuad bola sepak kebangsaan berhajat menewaskan penyandang juara
Singapura pada saingan separuh akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Asean di
Stadium Shah Alam, malam ini.
Peluang yang terhidang tidak
akan disia-siakan malah kesebelasan utama yang bakal diturunkan oleh jurulatih
Norizan Bakar (gambar) tidak akan menoleh ke belakang lagi.
Sebaliknya, mereka mahu
memahatkan kemenangan awal untuk dijadikan sebagai bekalan terbaik sebelum
berkunjung ke kota Singapura bagi mengharungi saingan separuh akhir kedua Sabtu
ini.
Biarpun tampak longlai aksi di
peringkat kumpulan di Bangkok sekadar menewaskan Filipina 4-0, seri 0-0 bertemu
Myanmar dan tewas 1-0 kepada juara tiga kali Thailand, namun jurulatih Norizan
Bakar percaya aksi di separuh akhir bakal membawa kelainan.
Berdepan Singapura yang turun
selaku penyandang juara nyata tidak begitu meresahkan Norizan kerana pertemuan
kedua-dua pasukan sudah menjadi lumrah hampir setiap tahun.
Saya menjangkakan pertemuan
yang cukup sengit seperti tahun lalu apabila kita seri dalam dua perlawanan dan
keadaan ini bakal terjadi lagi malam esok (malam ini).
Namun kehadiran pemain
kebangsaan adalah untuk menang kerana ini adalah peluang terbaik yang tidak
sepatutnya mereka sia-siakan, entah bila lagi kita akan dapat peluang macam
ini.
Saya yakin pemain akan dapat
memberikan persembahan terbaik tidak seperti aksi sewaktu saingan di peringkat
kumpulan, ujar Norizan dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya,
semalam.
Buat Norizan, beliau mahu
mengikut jejak langkah bekas jurulatih kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan yang
membawa skuad kebangsaan mara ke perlawanan akhir edisi pertama kejohanan ini
tetapi ditewaskan oleh Thailand 1-0 di Singapura pada 1996.
Sejak itu, penampilan skuad
kebangsaan bersilih ganti bertukar jurulatih sekadar menyaksikan kemaraan kita
hingga ke separuh akhir pada edisi 2000, 2002 dan 2004.
Dua tahun lalu di bawah
jurulatih Bertalan Bisckei kita hampir-hampir mara ke perlawanan akhir setelah
menewaskan Indonesia 2-1 di Jakarta tetapi tewas 4-1 beraksi di Stadium
Nasional Bukit Jalil.
Norizan dijangka menurunkan
kesebelasan utama yang sama sewaktu menentang Thailand sambil menyaksikan satu
pertukaran apabila Fauzi Nan dijangka mengambil alih kekosongan tempat Irwan
Fadli Idrus yang digantung satu perlawanan.
Sepanjang tiga hari sesi
latihan melihat gandingan pertahanan menerusi Fauzi Nan, Norhafiz Zamani
Misbah, Mohd. Khaironnisam dan V. Thirumurugan untuk menyekat kelincahan
penjaring terbanyak Singapura, Mohd. Noh Alam Shah.
Manakala bahagian tengah masih
disandarkan harapan ke atas gandingan Mohd. Hardi Jaafar, Muhammad Shukor Adan,
K. Nanthakumar dan Eddy Helmi Manan.
Dua penyerang veteran, Mohd.
Nizaruddin Yusof dan Hairuddin Omar terus mendapat kepercayaan mengemudi
jentera serangan.
Saya mengharapkan kehadiran
penyokong akan dapat menyemarakkan semangat pemain dan kita turun untuk menang.
Pemain juga sedar
tanggungjawab mereka untuk membawa kejayaan dan membuktikan kepada rakyat
betapa kita masih ada pasukan yang baik.
Untuk menyakinkan semula
peminat hanyalah kemenangan dapat mengubat segala kritikan dan cemuhan yang
dilemparkan sebelum ini, ujarnya.
Buat Norizan mengharapkan tuah
dengan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk mengukir kemenangan sebagai
bekalan terbaik untuk mengharungi Singapura di Stadium Nasional negara itu
Sabtu ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4spFJH4aO
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan