Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
KAPTEN skuad bawah 22 tahun
(B-22) negara Adib Zainudin menganggap keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM) melanjutkan kontrak jurulatih Datuk Ong Kim Swee cukup penting dalam misi
mereka mengharungi pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)
B-23 di China Januari tahun depan.
Pemain pertahanan tengah itu
berkata, kehadiran Kim Swee untuk terus bersama pasukan memberi sedikit
kelebihan dalam melakukan persiapan rapi selepas ini.
“Pada saya keputusan itu tepat
apabila jurulatih Datuk Ong Kim Swee terus kekal melatih pasukan ini. Beliau
sudah buktikan dengan dua kejutan mara ke Kejohanan AFC dan final Sukan SEA
Kuala Lumpur.
“Beliau sudah mengenali pemain
dan pemain pula sudah serasi dengan corak latihan, taktikal yang diterapkan.
Ini memberi sedikit kelebihan kerana Kejohanan AFC itu sudah semakin hampir,”
katanya kepada Arena Metro.
Kim Swee, 46, secara dasarnya
sudah bersetuju untuk menandatangani kontrak lanjutan selepas kontrak dua
tahunnya bersama FAM bakal berakhir Disember ini.
Pengakuan itu dibuat sehari
selepas Presiden FAM Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim
menyatakan badan induk itu berminat untuk terus menggunakan khidmat Kim Swee.
Kejayaan melepasi halangan
kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok Julai lalu dan mara ke final Sukan SEA
sebelum tewas 0-1 kepada Thailand menjadi faktor utama keputusan FAM
mengekalkan Kim Swee yang dikatakan turut mendapat tawaran kelab Indonesia.
Adib, 22, bagaimanapun
menegaskan semua pemain tidak boleh berasa selesa dengan Kim Swee.
“Mungkin ada orang cakap,
jurulatih sama, pemain tetap sama. Peluang pemain lain tak ada. Pada saya
tidak. Saya percaya Datuk Ong hanya akan memilih pemain berdasarkan prestasi.
Beliau pandai mengesan bakat baru, tidak mustahil akan ada pemain lain dibawa
masuk. Jadi, pemain lama perlu berusaha keras untuk kekal bersama pasukan,”
kata pemain kelab FELCRA FC itu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Khamis, 21 September 2017 @ 9:38 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan