ARKIB : 04/11/2006
KUALA LUMPUR Lima pemain
termasuk ketua pasukan Bawah 20 Tahun Malaysia yang kini beraksi pada Kejohanan
Bola Sepak Belia Asia di Bangalore, diserapkan ke skuad Olimpik negara
bimbingan B. Sathianathan.
Mereka terdiri daripada Aidil
Zafuan Razak dan Sabree Mat Abu yang membarisi bahagian pertahanan selain trio
tengah Safiq Rahim, Khyril Muhymeen Zambri dan Shukur Jusoh.
Khyril merupakan penjaring gol
tunggal Malaysia biarpun kalah 1-2 kepada Vietnam dalam perlawanan Kumpulan D
di Stadium Sree Kanteerava itu hasil sepakan percuma Safiq.
Kata Sathianathan: Sebenarnya
saya mahu mengambil enam pemain skuad ini tetapi calon terakhirnya akan dinilai
daripada laporan dan saranan ketua jurulatih mereka, K. Rajagopal.
Sekembalinya ke Malaysia,
mereka akan berehat empat atau lima hari sebelum melapor diri semula dan
mungkin berpeluang menyertai perlawanan persahabatan dengan India, katanya.
Calon keenam berlegar antara
penyerang di Bangalore, Farderin Kadir atau adik kembar Aidil, Zaquan Adha
Razak yang terpaksa diketepikan kerana kecederaan lutut tetapi bakal pulih
tidak lama lagi.
Anak buah Sathianathan akan
menentang skuad Sukan Asia India di New Delhi pada 19 dan 21 November ini
tetapi sebelumnya, menghadapi dua perlawanan persahabatan dengan UPB dan Pahang
pada 11 dan 14 November ini.
Skuad Olimpik yang terdiri
daripada pemain bawah 21 tahun dan bakal diadunkan dengan tonggak skuad Sukan
Asia Doha (bawah 23 tahun), bermain dalam kelayakan Olimpik dari 28 Februari
hingga 6 Jun tahun depan.
Antara pemain skuad Sukan Asia
yang mungkin dipertimbangkan oleh Sathianathan ialah penyerang Saramsak Kram,
penjaga gol Syed Adney Syed Hussain dan pemain tengah, Norfarhan Mohamad.
Malaysia diletakkan dalam
Kumpulan B pusingan kedua kelayakan Olimpik dengan Jepun dan Syria selain
pemenang perlawanan pusingan pertama antara Hong Kong dengan Bangladesh.
Skuad negara berkedudukan ke-11
daripada 14 pasukan dalam kelayakan itu, di belakang Iraq, Korea Selatan,
Jepun, Bahrain, Iran, Oman, Kuwait, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan
Lebanon.
Kali terakhir mereka bermain
dalam perlawanan sebenar ialah menduduki tempat tercorot Piala Ibu Kota SHBank
di Hanoi, bulan lalu di belakang Vietnam dan Thailand selepas kalah 0-4 dan seri
0-0.
Malaysia pernah mara ke Sukan
Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980. Di Munich, kita menewaskan Amerika
Syarikat 3-0 dan dikalahkan 0-6 dan 0-3 oleh Maghribi dan Jerman Barat tetapi
memulaukan Moscow kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke Afghanistan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4sB4DEp8Y
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan