Sabtu, 16 September 2017

Skuad Olimpik nyaris kejutkan Geylang dalam persahabatan



 
ARKIB : 16/02/2007
Mohd. Amirul Hadi Zainal (kiri) dibentes oleh pemain Geylang United dari Singapura pada perlawanan persahabatan di Stadium MPPJ, Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA - Skuad Olimpik negara terpaksa berpuas hati apabila seri tanpa jaringan sekalipun nyaris mengejutkan Geylang United Singapura pada perlawanan persahabatan bola sepak di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Anak didik B. Sathianathan ini menguasai perlawanan dengan mencipta beberapa peluang tetapi hanya ketumpulan penyudahan menyekat hasrat mereka untuk membenam lawan yang membariskan dua pemain kebangsaan Singapura.

Peluang terbaik skuad Olimpik tiba pada minit ke-55 apabila bekas ketua pasukan skuad Bawah 20 Tahun negara, Aidil Zafuan Razak menguji penjaga gol kedua Singapura, Hassan Abdullah Sunny yang sempat menepis keluar.

Selebihnya percubaan mereka sekadar sipi dan tersasar jauh biarpun sesekali berjaya menembusi benteng kelab handalan Liga Singapura yang dipimpin oleh ketua pasukan juara Kejohanan AFF, Aide Iskandar Sahak.

Pada perlawanan berhujan yang disulami guruh dan kilat itu, Malaysia turut menurunkan tonggak skuad kebangsaan dalam Kejohanan AFF, baru-baru ini seperti Khyril Muhymeen Zambri dan Safiq Rahim.

Malaysia menjadikan perlawanan ini sebagai persediaan menghadapi pusingan kedua kelayakan Olimpik pada 28 Februari dengan menentang Syria. Turut menganggotai Kumpulan B ini ialah Jepun dan kemungkinan Hong Kong.

Bulan lalu, anak didik Sathianathan yang diketuai Ahmad Azlan Zainal kalah 2-1 kepada Denmark di sini selain menduduki tempat ketiga Piala Cabaran Grand Royal di Mandalay, Myanmar, Disember tahun lalu.

Mereka menewaskan skuad kebangsaan Myanmar 1-0, kalah 0-1 kepada bawah 23 tahun tuan rumah serta seri 1-1 dengan Indonesia. Sebelumnya dalam Piala Capital SHBank di Hanoi, mereka kalah 0-3 kepada skuad kebangsaan Vietnam dan seri 0-0 dengan Olimpik Thailand.

Skuad belia negara yang pernah menentang beberapa pasukan Liga Malaysia, turut seri tanpa jaringan dengan Olimpik Afrika Selatan sebelum kalah 3-0 ketika berkunjung ke sana pada Mei tahun lalu.

Kata Sathianathan: ‘‘Saya gembira dengan persembahan mereka yang mencipta peluang sekalipun gagal menjaringkan gol. Rentak pasukan agak perlahan tetapi tetap mantap tanpa tonggak kebangsaan seperti Azi Shahril Azmi dan Samransak Kram.

“Kami perlu memperbaiki sentuhan penyudah pasukan sebelum memilih 22 pemain ke Doha pada 19 Februari untuk menentang Olimpik Qatar dalam persahabatan terakhir (22 Februari) dan terus ke Syria, dua hari kemudian.’’

Menurut beliau, beberapa pendekatan perlu digilap segera dalam sesi latihan selepas ini memandangkan ramai pemain terpaksa dilepaskan kembali ke pasukan masing-masing bagi menghadapi Liga Malaysia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4srWCn5Y6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan