ARKIB : 08/06/2007
Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR Skuad bola sepak
kebangsaan yang dalam persiapan rapi menghadapi pusingan akhir Piala Asia Julai
ini, memerlukan sekurang-kurangnya tiga lagi perlawanan persahabatan untuk
menguji kemantapan sebenar.
Tanpa tiga perlawanan
persahabatan dengan pasukan yang kuat, kemantapan dan keupayaan sebenar skuad
kebangsaan tidak akan dapat dinilai.
Untuk tujuan itu, penyerang
kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli merayu agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
dapat mengatur dua lagi perlawanan persahabatan selain pertembungan dengan UAE
pada 26 Jun ini.
Tanpa banyak perlawanan
persahabatan dengan pasukan yang kuat sukar untuk pemain cuba menyerap tekanan
dan asakan pasukan lawan.
Kerana itu amat penting
pemain kebangsaan bermain dengan pasukan-pasukan handalan dalam perlawanan
persahabatan sebelum saingan sebenar pusingan akhir Piala Asia, bulan depan.
Sekadar satu perlawanan
menentang UAE sebenarnya tidak mencukupi. Pemain perlu sekurang-kurangnya dua
atau tiga lagi perlawanan persahabatan, ujar Akmal Rizal.
Penyerang kebangsaan itu
menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran kasut bola, Nike T90
Laser di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, semalam.
Dia mengakui ujian getir buat
pemain berdepan China, Iran dan Uzbekistan kerana pasukan tersebut bermain
lebih mengutamakan kekuatan fizikal.
Kerana itu bagi saya tiga
lagi perlawanan persahabatan akan dapat mengukur dan mencari kelemahan di saat
akhir untuk diperbetulkan sebelum saingan sebenar nanti, ujarnya.
Penyerang kelahiran Kedah itu
berkata, setakat ini persiapan skuad kebangsaan berjalan lancar dan meneruskan
kesinambungan latihan meningkatkan persefahaman taktik pada sesi latihan fasa
terakhir di Pulau Pinang bermula semalam hingga 25 Jun ini.
Ujarnya, sesi latihan fasa terakhir
meneruskan segala bentuk persiapan yang telah dilakukan sewaktu berada di
Australia selama tiga minggu.
Beliau berkata, walaupun skuad
bimbingan jurulatih Norizan Bakar tewas kesemua tiga perlawanan persahabatan
yang diatur namun apa yang penting persefahaman taktik telah dapat
ditingkatkan.
Skuad negara tewas ketiga-tiga
perlawanan persahabatan mereka di Australia kepada kelab Bankstown FC 0-1,
Sydney FC 0-2 dan Central Coast Marinas FC 0-3.
Bagi menghadapi saingan getir
dalam Kumpulan C, skuad kebangsaan akan bersaing bersama-sama China, Iran dan
Uzbekistan.
Anak buah Norizan akan
memulakan kempen Piala Asia dengan menentang China, 10 Julai, diikuti
Uzbekistan, 14 Julai dan akhir sekali Iran, 18 Julai depan.
Semangat pemain kata Akmal
Rizal semakin mantap di kalangan pemain dengan keazaman tinggi mereka mahu
melenyapkan kritikan dan kecaman yang sering kali dilemparkan.
Kami memang berazam mahu
menunjukkan sesuatu yang cukup menyakinkan apabila menentang China, Uzbekistan
dan Iran.
Memang kami memerlukan
kemenangan untuk mendapat kembali sokongan peminat dan itu akan kami buktikan
dalam kempen pertama menentang China, ujarnya
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4u8joZcVB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan